Sempena Hari Polis ke-218, anggota PDRM dapat bil telefon percuma sebulan, tambah nilai prabayar RM30 'one off'


  • Primer
  • Selasa, 25 Mac 2025

Kementerian Komunikasi menawarkan Insentif Rebat RAHMAH secara sekali bayar kepada anggota PDRM bersempena dengan sambutan Hari Polis ke-218.

KERAJAAN MADANI melalui Kementerian Komunikasi menawarkan Insentif Rebat RAHMAH secara sekali bayar kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersempena dengan sambutan Hari Polis ke-218.

Insentif itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan anggota PDRM dalam memastikan keselamatan negara.

"Anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar (postpaid) akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan sama ada pada bulan April, Mei atau Jun bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat. 

"Manakala, anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar (prepaid) pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara one-off dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

BACA LAGI: [VIDEO] Gigih cari duit lebih menjelang raya, lelaki berhelmet curi tabung masjid selepas Subuh di Seremban

BACA LAGI: Polis buru 4 lelaki bertopeng buat 'job' malam Ramadan di Felda, bawa lari barangan nilai RM12,000

Pemberian insentif tersebut disokong oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi utama negara termasuk CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com. 

Secara keseluruhan, lebih 127,000 anggota PDRM dijangka menerima manfaat daripada inisiatif itu.

Kementerian Komunikasi berkata, Insentif Rebat RAHMAH itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengiktiraf dan menghargai dedikasi serta komitmen anggota PDRM dalam menjaga kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Katanya lagi, maklumat lanjut mengenai insentif tersebut termasuk kaedah penebusan dan syarat kelayakan akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram