
PUTERI Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah baru-baru ini tampil manis dalam sebuah majlis dengan busana yang direka khas oleh pereka fesyen yang sering menjadi pilihan dalam kalangan selebriti dan kerabat diraja, Teh Firdaus.
Ia sekali gus membuktikan keunggulan sentuhan magis perekanya, Muhammad Firdaus Awang Teh dalam dunia fesyen yang menggabungkan keindahan warisan Melayu dengan elemen moden.
Menerusi video yang dimuat naik oleh pengguna 4zrel1, beliau kelihatan elegan dengan persalinan baju kurung moden bersulam, lengkap dengan hijab serba sepadan serta aksesori mewah termasuk beg Lady Dior dan berkasut tumit tinggi.
BACA LAGI: Kajian baharu tunjuk jangka hayat perokok wanita 5 minit lebih pendek berbanding lelaki
Tangkap layar memaparkan Puteri Ameerah dengan persalinan baju kurung moden bersulam rekaan Teh Firdaus dalam sebuah majlis. — TikTok/@4zrel1
Penampilan beliau yang sederhana tetapi tetap menonjol dengan aura keanggunan dan kelas tersendiri mendapat pujian ramai.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya terpesona dengan kecantikan puteri bongsu Sultan Brunei itu yang diwarisi daripada ibunya, iaitu bekas personaliti TV, Azrinaz Mazhar Hakim.
Tidak kurang juga yang memuji kesopanannya menyantuni hadirin yang lebih berusia.
"Seperti ibunya, sangat cantik," kata Eiq Mal.
"Walaupun beliau anak raja, beliau tetap sopan dan hormat. Sanggup tunduk sedikit memberi kurnia. Syabas, sikap yang sangat bagus," kata salah seorang pengguna.
"Semakin ayu, cantik tidak terkata. Siapakah yang paling bertuah menyunting puteri ini?" kata Rosma.
Penglibatan Teh Firdaus dalam dunia fesyen bukanlah sesuatu yang baharu. Beliau dikenali dengan rekaannya yang eksklusif, menggabungkan elemen tradisional dengan keanggunan kontemporari, menjadikan setiap rekaan tampak unik dan berprestij.
Keindahan busana yang diperagakan oleh Puteri Ameerah ini sekali lagi membuktikan bahawa fesyen tradisional terus relevan dan diraikan bersama oleh masyarakat serumpun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram