Pengguna Touch 'n Go eWallet boleh bayar parkir automatik melalui pengecaman plat kereta


  • Primer
  • Rabu, 19 Mac 2025

Ciri itu berfungsi dengan mengimbas plat kenderaan semasa masuk dan menolak bayaran letak kereta secara automatik daripada TNG eWallet pengguna semasa keluar.

TOUCH 'N GO (TNG) eWallet kini menawarkan ciri Pengecaman Plat Nombor (LPR) bagi pembayaran parkir secara automatik melalui aplikasi. 

Dengan ciri itu, pengguna tidak perlu lagi menggunakan kad fizikal atau mengimbas kod QR kerana bayaran akan ditolak terus daripada baki eWallet mereka.

Ciri LPR beroperasi dengan mengimbas plat nombor kenderaan semasa memasuki kawasan parkir. 

BACA LAGI: Mahu elak pembaziran, peniaga bazar Ramadan Pulau Pinang derma lebihan makanan kepada golongan memerlukan

BACA LAGI: Nampak seperti sakit biasa rupanya kanser, pakar pediatrik kongsi panduan kenal pasti anak-anak alami kanser

Setelah kenderaan keluar, jumlah bayaran parkir akan dipotong secara automatik daripada akaun TNG eWallet pengguna. 

Tiada keperluan untuk mengekalkan baki minimum bagi memasuki kawasan parkir, namun pengguna perlu memastikan baki mencukupi untuk membuat pembayaran bagi mengelakkan kesulitan semasa keluar.

Menurut FAQ dalam aplikasi, pembayaran tetap boleh dilakukan walaupun pengguna kehilangan telefon, tidak mempunyai sambungan Internet atau jika peranti mereka kehabisan bateri.

Lokasi yang Menyokong Ciri LPR

Ketika ini, ciri LPR tersedia di 12 lokasi terpilih di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Sarawak:

Kuala Lumpur:

- Damansara City Mall (DC Mall)

- Bukit Tunku (The Stories)

- Holiday Inn Express, Jalan Raja Chulan

- Kapas Condominium, Bangsar

Selangor:

- Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang)

- Setia City Residences, Shah Alam

- Kossan Tower, Setia Alam

- Tamarind Square, Cyberjaya

- Ten Kinrara, Puchong

- Lapangan Terbang Subang, Plot L&H

Pulau Pinang:

- Lot 710, Jalan Datuk Ooh Chooi Cheng

Sarawak:

- RAIA Hotel & Convention Centre, Kuching

Cara Mengaktifkan Ciri LPR dalam Aplikasi

Untuk menggunakan ciri itu, pengguna perlu mengaktifkannya secara manual bagi setiap kenderaan yang didaftarkan dalam aplikasi TNG eWallet.

Langkah-langkah pengaktifan adalah seperti berikut:

1. Buka aplikasi TNG eWallet dan pergi ke skrin utama.

2. Tekan ikon 'More' dalam bahagian 'My Favourites'.

3. Skrol ke bawah ke bahagian 'Transport' dan pilih 'LPR Parking'.

4. Terima terma dan syarat untuk menambah kenderaan serta mengaktifkan pembayaran LPR.

5. Lakukan imbasan wajah untuk tujuan pengesahan identiti.

6. Setelah berjaya, kenderaan akan didaftarkan secara automatik untuk menggunakan ciri itu.

Setiap pengguna boleh menambah sehingga 10 kenderaan untuk menggunakan ciri pembayaran parkir LPR itu.

Dengan teknologi itu, urusan parkir menjadi lebih mudah dan pantas tanpa perlu menggunakan kad fizikal atau resit pembayaran manual. — The Star/CHRISTOPHER FAM

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram