
PENIAGA bazar Ramadan di Pulau Pinang mengambil inisiatif untuk mendermakan lebihan makanan kepada golongan yang memerlukan bagi mengelakkan pembaziran.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata, usaha itu lebih bermakna daripada membuang makanan yang tidak terjual.
“Bukan sahaja peniaga, malah penganjur bazar Ramadan di negeri ini turut mengambil berat tentang perkara berkenaan dan sentiasa memastikan makanan serta minuman tidak dibazirkan di gerai mereka.
“Sekiranya terdapat lebihan atau makanan yang tidak terjual, sebahagiannya akan disalurkan kepada golongan yang memerlukan, termasuk masjid, surau dan tempat lain,” katanya pada Isnin.
BACA LAGI: [VIDEO] Misi hantar manusia ke Marikh bermula hujung 2026
BACA LAGI: [VIDEO] Imam masjid di AS ajak jemaah buat 'push up' setiap kali selepas tarawih
Beliau turut memaklumkan bahawa berdasarkan pemantauan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), tahap kebersihan di bazar Ramadan adalah memuaskan.
Mooi Lye berkata, beberapa agensi lain termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang turut menjalankan pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan standard kebersihan yang ditetapkan.
Selain itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga memberi perhatian serius terhadap isu warga asing yang menjalankan perniagaan di bazar Ramadan, sebagaimana yang telah dinyatakan dengan jelas dalam surat tawaran kepada peniaga.
"Sepanjang bulan Ramadan ini, terdapat 100 bazar dengan penyertaan 4,574 peniaga yang menjual pelbagai jenis makanan dan minuman.
"Setakat ini, tindakan telah diambil terhadap dua gerai yang dikendalikan oleh warga asing," katanya.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Pulau Pinang, S. Jegan memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan sepanjang dua minggu lalu mendapati para peniaga memaparkan tanda harga dengan jelas serta menetapkan harga yang berpatutan.
"Sepanjang tempoh tersebut, kami hanya menerima tiga aduan di seluruh Pulau Pinang, dengan satu daripadanya telah membawa kepada tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, manakala dua lagi masih dalam siasatan," katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram