Masih ramai keliru beza kompaun kes syarikat pengendali ERA FM, Harith Iskandar dan Cecelia Yap, ini penjelasannya


  • Primer
  • Rabu, 12 Mac 2025

Fahmi Fadzil tampil menjelaskan Era FM tidak dikenakan kompaun, sebaliknya MBNS iaitu pemegang lesen di bawah MCMC.

MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil tampil menjelaskan perbezaan kompaun yang dikenakan terhadap syarikat pengendali stesen radio Era FM, Maestra Broadcast Network Systems Sdn. Bhd. (MBNS) berbanding dua kes lain membabitkan Harith Iskander dan Cecelia Yap.

Kenyataan itu dibuat di laman X (Twitter) rasmi miliknya selepas ramai yang keliru berkenaan status kompaun berkenaan.

Jelas Fahmi, MBNS bukan individu tetapi sebuah anak syarikat milik Astro yang mempunyai keuntungan substantif dan pemegang lesen di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

BACA LAGI : Tiada tindakan lanjut terhadap 3 penyampai radio ERA FM, denda RM250,000 sudah memadai — Fahmi Fadzil

BACA LAGI : Pengendali stesen radio ERA FM kena kompaun RM250,000, lesen tak digantung — MCMC

"Syarikat tersebut yang merupakan pemegang lesen MCMC dikompaun sebanyak RM250,000 selepas berlaku beberapa pelanggaran yang berkaitan dengan peraturan penyiaran.

"Keputusan kompaun ini diberi izin oleh Timbalan Pendakwa Raya, antara lain berpandukan beberapa faktor, termasuk pindaan Akta 588 yang berkuatkuasa sejak 11 Februari 2025. 

"Ini bermaksud denda mahkamah maksimum dinaikkan kepada RM500,000," katanya pada Selasa.

Tiga penyampai radio ERA FM, Radin (dari kiri), Azad dan Nabil memohon maaf kerana dikatakan mempersendakan kaum Hindu.

Beliau turut menjawab persoalan pengguna media sosial berhubung kompaun yang dikenakan terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap turut dikenakan kompaun masing-masing RM10,000 bagi kesalahan sama.

Katanya, jumlah berkenaan lebih rendah kerana dua individu tersebut melakukan kesalahan sebelum 11 Februari dan ketika itu denda maksimum masih tertakluk pada kadar lama RM50,000.

Untuk rekod, MBNS dikenakan kompaun sebanyak RM250,000 atas kesalahan selepas akaun rasmi TikTok Era FM memuat naik kandungan kontrovesi yang melibatkan tiga penyampai radionya pada Selasa. 

Kompaun itu dikenakan atas kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.  — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram