MPOGCF peruntuk lebih RM1 juta konservasi Harimau Malaya


  • Massa
  • Rabu, 22 Jan 2025

Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya sebahagian Program Konservasi Harimau Malaya yang bertujuan memulihara dan meningkatkan populasi spesies ini secara ex-situ.

YAYASAN Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) membelanjakan sebanyak RM1.7 juta daripada jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM3.18 juta untuk tempoh lima tahun dalam usaha konservasi Harimau Malaya.

MPOGCF menerusi satu kenyataan pada Rabu berkata, dana itu melibatkan pelbagai usaha konservasi haiwan tersebut antaranya pembiayaan makanan dan ubatan, penyelidikan dan juga program pembangunan kapasiti yang bertujuan meningkatkan modal insan dalam kalangan petugas di pusat konservasi.

Menurutnya, usaha itu juga termasuk Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya yang berlangsung di Pusat Konservasi Harimau Malaysia (MTCC), Lanchang melibatkan kerjasama Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).

BACA LAGI: [VIDEO] Rider ‘superbike’ rentung, terseret beberapa meter gagal elak kereta masuk simpang di Mongolia

BACA LAGI: Warga emas nyanyuk tak sedar anak sudah meninggal 5 hari sehingga polis datang di Tanah Merah

WhatsApp Image 2025-01-22 at 07.23.52 (1)

Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya melibatkan aktiviti penanaman 95 batang pokok pelbagai spesies.

"Inisiatif Program Pengayaan Habitat Harimau Malaya ini adalah sebahagian daripada Program Konservasi Harimau Malaya yang bertujuan memulihara dan meningkatkan populasi spesies ini secara ex-situ.

"Program ini melibatkan aktiviti penanaman 95 batang pokok pelbagai spesies antaranya Jelutong, Pulai, Meranti Tembaga dan Tembusu yang merupakan langkah penting untuk memastikan kurungan harimau di MTCC berada dalam keadaan kondusif, seperti habitat semula jadinya," maklumnya.

Program yang berlangsung pada Selasa lalu dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Jabatan Perhilitan, Datuk Fakhrul Hatta Musa; Pengurus Besar MPOGCF, Hairulazim Mahmud dan pegawai-pegawai kanan Bahagian Industri Sago dan Sawit (BISS) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Jelas kenyataan itu lagi, program tersebut bertujuan meningkatkan keberkesanan proses rehabilitasi dan pemuliharaan semula harimau serta mempersiapkan haiwan ini untuk kembali ke habitat asal dengan lebih berdaya tahan.

"Program Konservasi Harimau Malaya menjadi bukti komitmen industri sawit Malaysia dalam menyokong pemuliharaan alam sekitar dan konservasi biodiversiti.

"Aktiviti penanaman pokok pula, membantu memperkaya lagi ekosistem di MTCC sekali gus menjadikannya lebih lestari untuk jangka masa panjang," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram