25 rakyat Malaysia diselamatkan selepas terpedaya sindiket tawaran kerja gaji mewah di Myanmar


  • Massa
  • Selasa, 11 Mac 2025

Mangsa pusat penipuan yang diperdaya atau diperdagangkan untuk bekerja di Myanmar kini terperangkap di sebuah kawasan dalam KK Park, sebuah kilang penipuan dan hab pemerdagangan manusia di sempadan Thailand-Myanmar. — Agensi

SERAMAI 25 rakyat Malaysia yang merupakan  mangsa sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar dibawa pulang melalui Mae Sot, Wilayah Tak, utara Thailand.

Kuasa Usaha Malaysia ke Myanmar, Johan Ariff Abdul Razak memaklumkan bahawa kesemua mangsa diserahkan oleh pihak berkuasa Myanmar kepada Kedutaan Malaysia melalui pihak berkuasa Thailand kira-kira 10 pagi Rabu.

"Seramai 23 lelaki dan dua wanita berusia antara 21 hingga 47 tahun dipindahkan melalui jalan darat dan dijangka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah Rabu ini," katanya pada Selasa.

BACA LAGI : [VIDEO] Warga emas meninggal ketika main badminton di Alor Setar, anak sempat nasihat ayah supaya berehat dulu sebelum kejadian

BACA LAGI :  [VIDEO] 'Jiran bantu permudah urusan pengebumian', lelaki kongsi betapa mesranya hubungan Melayu-India

Jelas Johan lagi, kumpulan itu bertolak dari Mae Sot sekitar 2 petang waktu tempatan.

Bagaimanapun, Johan yang turut membantu Kedutaan Malaysia di Thailand dalam pengesahan identiti mangsa, memaklumkan seorang rakyat Malaysia yang memasuki Myanmar secara sah akan pulang secara berasingan.

"Pihak berkuasa Myanmar memaklumkan bahawa seorang daripada mereka memasuki negara itu secara sah.

"Oleh itu, pengaturan khas mengikut undang-undang akan dibuat bagi penghantaran pulangnya ke Malaysia," katanya.

"Sementara itu, Kuasa Usaha Sementara Malaysia ke Thailand, Bong Yik Jui berkata, pegawai kedutaan di Bangkok membantu semua mangsa menghubungi keluarga mereka di Malaysia serta mengeluarkan dokumen perjalanan sementara.

"Pegawai kedutaan di Bangkok juga akan menemani kesemua mangsa sepanjang perjalanan dari Wilayah Tak ke Bukit Kayu Hitam, yang dijangka mengambil masa lebih 20 jam," katanya.

Pada 6 Mac lalu, Kementerian Luar Thailand mengumumkan rancangan untuk membawa pulang 1,500 orang yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar setiap minggu.

Bulan lalu, seramai 15 rakyat Malaysia adalah antara 260 warga asing yang diselamatkan daripada sindiket pusat panggilan di Myawaddy, Myanmar.

Mereka berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada 24 Februari dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia bagi membantu siasatan.  — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram