[VIDEO] Puting beliung sekali lagi melanda Sekinchan, 30 rumah terjejas


  • Tular
  • Selasa, 11 Mac 2025

Beberapa rumah rosak selepas puting beliung melanda Sekinchan, Selangor pada Selasa.

BEBERAPA rumah di sekitar Sekinchan, Selangor mengalami kerosakan teruk selepas dilanda angin puting beliung pada Selasa petang. 

Fenomena mengejutkan itu menyebabkan bumbung beberapa rumah diterbangkan angin sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Rakaman kejadian yang tular di media sosial memaparkan detik-detik puting beliung terbentuk berhampiran Masjid Pekan Sekinchan dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Harmoni Taman Ria.

BACA LAGI: Mayat misteri terapung di lombong Serendah, dipercayai sudah lemas lebih 4 hari

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Terpaksa batal bufet Ramadan,’ pengunjung Dataran Putrajaya bengang sikap pemandu ‘double park’ sembarangan

Video yang dikongsi oleh seorang pengguna media sosial, Razali memperlihatkan pusaran angin kuat berputar di kawasan berkenaan.

Pengguna media sosial, Izam Sanudin turut meluahkan rasa simpati dan mendoakan keselamatan mereka yang terjejas. 

“Semoga semua berada dalam lindungan ALLAH. Ujian di bulan Ramadan,” katanya.

Seorang lagi pengguna, Norashikin Jamaludin menzahirkan rasa bimbang terhadap kejadian tersebut.

“Allahuakbar... Semoga tiada kehilangan nyawa dan segala urusan penduduk dipermudahkan,” tulisnya dalam satu hantaran.

Untuk rekod, itu merupakan kejadian ribut kedua yang melanda Sekinchan dalam tempoh seminggu.

Susulan kejadian itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah telah mengaktifkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Seri Sekinchan pada pukul 4.50 petang bagi menempatkan penduduk yang terjejas.

Pada 7 Mac lepas, ribut turut melanda Parit 4, Sekinchan sehingga menyebabkan kerosakan besar kepada beberapa kediaman.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin memaklumkan bahawa semua agensi berkaitan diarahkan untuk sentiasa bersiap siaga dalam menguruskan situasi tersebut.

"Ini termasuk memberikan bantuan segera kepada mangsa yang terjejas serta menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

"Orang ramai khususnya yang berada di kawasan berisiko tinggi dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan serta pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram