Mayat misteri terapung di lombong Serendah, dipercayai sudah lemas lebih 4 hari


  • 112
  • Selasa, 11 Mac 2025

Mayat lelaki tanpa identiti ditemui terapung di lombong belakang Klinik Kesihatan Serendah, Hulu Selangor, Selangor pada Selasa.

ORANG awam gempar dengan penemuan mayat lelaki tanpa identiti terapung di lombong belakang Klinik Kesihatan Serendah, Hulu Selangor, Selangor pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 9 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang lelaki, namun umur dan bangsanya masih belum dapat dipastikan.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang di permukaan air dengan hanya memakai seluar dalam,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: MPPn nafi luluskan permit berniaga mercun bazar Ramadan Ayer Baloi, staf bernama 'Dino' tak terbabit

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Terpaksa batal bufet Ramadan,’ pengunjung Dataran Putrajaya bengang sikap pemandu ‘double park’ sembarangan

Mayat itu dijumpai di lombong belakang Klinik Kesihatan Serendah.

Ahmad Faizal berkata, pemeriksaan awal pada mayat tidak menemui sebarang kesan kecederaan luaran atau tanda-tanda pergaduhan.

"Berdasarkan keadaan badan mangsa, dia dipercayai sudah lemas di lombong tersebut anggaran sekitar empat atau lima hari," katanya. 

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.

Susulan itu, Ahmad Faizal berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Hazwan Ismail di talian 03-60811222 atau 013-2908206 serta mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram