
POLIS memperoleh bukti baharu dalam kes pembunuhan Zayn Rayyan Abdul Matin melalui satu pautan rakaman video.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor memaklumkan bahawa ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf ada membuat laporan polis selepas menerima pautan video TikTok menerusi WhatsApp.
"Rakaman berdurasi satu minit itu menunjukkan pengadu berjalan sambil memegang tangan Zayn Rayyan dan adiknya yang berusia enam tahun menuju ke kawasan parkir motosikal di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor.
"Pengadu percaya rakaman tersebut dibuat oleh individu yang tidak dikenali dari sebuah unit di Apartment Idaman yang menghadap Blok R. Sudut dan ketinggian rakaman menunjukkan bahawa ia berkemungkinan diambil dari unit di tingkat atas bangunan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI: Mayat misteri terapung di lombong Serendah, dipercayai sudah lemas lebih 4 hari
Mohd Hafiz berkata, Ismanira membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan keluarganya.
"Beliau juga percaya kejadian ini bukan satu kebetulan, memandangkan Zayn Rayyan ditemui mati tidak lama selepas rakaman itu dibuat iaitu kira-kira 200 meter dari lokasi video dirakam.
"Siasatan masih diteruskan dan kami menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mengelirukan masyarakat," katanya.
Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Disember 2023 dan mayatnya ditemui keesokan harinya di sebuah anak sungai berhampiran kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Mangsa dipercayai dibunuh, dan hasil bedah siasat menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada leher dan badannya yang konsisten dengan tindakan mempertahankan diri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram