
MAJLIS Perbandaran Pontian (MPPn) menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah mengeluarkan lesen kepada peniaga mercun di Bazar Ramadan Ayer Baloi, Johor sambil menegaskan bahawa penjualan mercun dalam kawasan bazar Ramadan adalah dilarang sama sekali.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, MPPn menjelaskan bahawa permit penjualan bunga api dan mercun adalah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Walau bagaimanapun, PDRM akan mendapatkan ulasan daripada MPPn berkenaan kesesuaian lokasi sebelum memberikan kebenaran kepada peniaga.
BACA LAGI: Peniaga bazar Ramadan Ayer Baloi dakwa diugut, hairan jualan mercun dibenarkan
BACA LAGI: Diperdaya cinta Hari Valentine, gadis Florida hilang 2 minggu ditemukan mati dalam tong sampah
MPPn berkata, pihaknya telah menerima 56 permohonan untuk penjualan bunga api sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun hanya 27 daripadanya disokong berdasarkan kesesuaian lokasi.
Permohonan untuk berniaga mercun di Bazar Ramadan Ayer Baloi termasuk dalam 29 permohonan yang tidak disokong kerana tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan, kata MPPn.
MPPn turut menyangkal dakwaan bahawa seorang kakitangan yang dikenali sebagai 'Dino' telah memberikan kebenaran kepada peniaga mercun tersebut.
"Ini kerana, kakitangan tersebut bukan merupakan individu yang terlibat secara langsung dalam fungsi tugas di Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan MPPn.
"MPPn ingin menegaskan bahawa pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen atau permit bagi penjualan mercun di mana-mana bazar Ramadan di bawah seliaan kami.
"Mana-mana peniaga yang menjalankan aktiviti tersebut di bazar adalah beroperasi tanpa kebenaran dan boleh dikenakan tindakan," katanya pada Isnin.
Sebelum ini, tular mengenai peniaga makanan, Maziah Abdullah Maziah Awie meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berkenaan kewujudan penjual mercun di tapak bazar yang sepatutnya dikhaskan untuk peniaga makanan.
Dalam hantaran tersebut, beliau mempersoalkan bagaimana peniaga mercun boleh beroperasi tanpa larangan, sedangkan peniaga makanan perlu melalui pelbagai prosedur ketat sebelum diberikan kebenaran berniaga.
Susulan pendedahan itu, Maziah juga mendakwa dirinya menerima ugutan dan panggilan tidak henti-henti daripada individu tidak dikenali yang menggesa agar hantaran dibuatnya itu dipadam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram