
WARGA tempatan digemparkan dengan kejadian tembakan dan letupan bom yang berlaku di sempadan Sungai Golok, Kelantan pada Sabtu.
Insiden itu dilaporkan berlaku ketika umat Islam sedang berbuka puasa sehingga mengundang suasana panik dalam kalangan penduduk.
Beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan detik-detik serangan tersebut berlaku, dengan bunyi letupan dan tembakan yang jelas kedengaran.
BACA LAGI: [VIDEO] Tetak pekerja kedai nasi kandar sampai mati, polis cari 4 suspek di Tasek Gelugor
KEJADIAN tembakan dan letupan bom di sempadan Sungai Golok ketika ini.Penduduk melaporkan kejadian tembakan berlaku ketika waktu berbuka puasa.Perincian akan dikemas kini nanti.08/03/2025 pic.twitter.com/x9sAN5mr6x
— MYNEWSHUB (@mynewshub) March 8, 2025
Kejadian itu dipercayai berlaku di sekitar kawasan pejabat Pentadbiran Daerah (DO) Sungai Golok, namun butiran lanjut masih belum dapat dipastikan.
Dalam satu hantaran, seorang pengguna Facebook, Man Yakuza berkongsi berita duka mengenai pemergian sahabatnya, Sabri dalam kejadian tersebut.
“Innalillahi wa inna ilaihi rojiun. Mendapat perkhabaran duka bahawa sahabat saya telah gugur dalam letupan bom dan berbalas tembakan di pejabat DO Sungai Golok. Allahummaghfirlahu warhamhu wa’afihi wa’fuanhu.
"Semoga kematian syahidmu ALLAH kurniakan syurga buatmu, Sabri.” tulisnya.
Berita itu sekali gus telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia yang turut berkongsi kesedihan dan mendoakan kesejahteraan mangsa yang terkorban.
"Semoga arwah ditempatkan bersama golongan yang soleh. Al-Fatihah," tulis Badrul Hisyam.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram