Sempat beritahu nenek nak datang bawa makan malam, cucu maut, seorang lagi parah motosikal dirempuh kereta di Seremban


  • 112
  • Jumaat, 07 Mac 2025

Dua lelaki maut manakala seorang cedera parah selepas terlibat dalam insiden di Jalan Persiaran Senawang 1, Matahari Heights, Seremban, Negeri Sembilan pada Khamis malam.

HASRAT remaja lelaki berusia 15 tahun untuk menghantar makanan kepada neneknya tidak kesampaian apabila dia dan rakannya maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Persiaran Senawang 1, Matahari Heights, Seremban, Negeri Sembilan. 

Difahamkan, sebuah kereta yang dipandu remaja lain dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal yang dinaiki mangsa.  

Mangsa, Muhammad Aidil Ramdan Abdullah, 15, yang menunggang motosikal bersama pembonceng, Muhammad Aswari Lotpi, 16, maut di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku pada pukul 8.30 malam, Khamis.

BACA LAGI: Peniaga bazar Ramadan masih berdegil guna 'stapler', tak peduli soal keselamatan pembeli, kanak-kanak

BACA LAGI: Sampai 3 kali kena saman sehari, penduduk Kuchai Entrepreneurs Park harap DBKL sedia pelekat bulanan

 

Seorang lagi mangsa adalah adik kepada Muhammad Aidil, Muhammad Asraf Adha Abdullah.

Muhammad Asraf Adha yang menunggang motosikal lain dan turut bertembung dengan kereta berkenaan kini berada dalam keadaan kritikal serta sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar selepas menjalani pembedahan.  

Ibu saudara mereka, Rosaliah Diego, 26, berkata, Muhammad Aidil sempat menghantar mesej terakhir melalui WhatsApp kepada neneknya, Rahimah Julieto, 50, memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan ke rumah wanita itu di Sikamat dengan membawa makanan dari Senawang.  

"Nenek mereka menunggu sehingga pukul 9 malam, tetapi kedua-duanya tidak muncul.

"Dia hanya menerima berita tragis itu kemudian dan masih berada dalam keadaan terkejut hingga kini,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Rembau.  

Tambah Rosaliah, dua beradik itu sangat rapat dan sering menghabiskan masa bersama.  

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan bahawa kereta yang terlibat dalam kemalangan itu dipandu oleh remaja lelaki berusia 18 tahun yang dalam perjalanan dari Senawang ke Paroi bersama seorang penumpang berusia 17 tahun.  

“Siasatan awal mendapati pemandu kereta dipercayai gagal mematuhi lampu isyarat merah sehingga menyebabkan dua motosikal yang datang dari arah kiri bertembung dengannya,” katanya.  

Pemandu kereta serta penumpangnya termasuk seorang lagi penunggang motosikal berusia 17 tahun turut mengalami kecederaan parah.  

Mohamad Hatta meminta saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor G. Sankar di talian 014-600 0353 atau mana-mana balai polis berdekatan.  

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.  

Sementara itu, saudara kepada salah seorang mangsa iaitu Muhammad Aswari, Azizah Ab Ghani menyifatkan arwah sebagai seorang yang berdikari meskipun masih bersekolah.  

“Dia adalah anak bongsu daripada empat beradik. Walaupun masih belajar, dia sering bekerja sambilan sebagai pencuci pinggan di sebuah kedai makan bagi meringankan beban keluarga,” katanya.  

Jenazah kedua-dua pelajar itu telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sikamat. — The Star/ SARBAN SINGH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram