'Baik fikir cara baiki masalah jalan', penduduk Pahang pertikai keperluan tukar 13 nama tempat


  • Massa
  • Ahad, 09 Mac 2025

Nama Tioman Harbour yang menjadi perdebatan ramai kini ditukar kepada Terminal Feri Penumpang Teluk Gading.

KEPUTUSAN kerajaan negeri Pahang menukar nama 13 lokasi di empat daerah iaitu Kuala Lipis, Kuantan, Pekan dan Rompin sejak 2020 kembali mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Isu itu menjadi tular di media sosial sejak Sabtu apabila laman Facebook, Viral Pahang Makmur menyenaraikan semula nama-nama yang telah ditukar, sekali gus mengundang pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Ramai mempersoalkan keperluan menukar identiti asal kepada nama baharu yang dianggap kurang mencerminkan budaya tempatan.

Salah satu perubahan yang mendapat perhatian ramai adalah penukaran nama Terminal Feri Penumpang Tanjung Gemok di Rompin kepada Tioman Harbour.

BACA LAGI: [VIDEO] Tetak pekerja kedai nasi kandar sampai mati, polis cari 4 suspek di Tasek Gelugor

BACA LAGI: Sempat beritahu nenek nak datang bawa makan malam, cucu maut, seorang lagi parah motosikal dirempuh kereta di Seremban

Di media sosial, pelbagai reaksi diberikan oleh masyarakat yang tidak bersetuju dengan perubahan itu.

Seorang pengguna media sosial, B Rosli MN mempersoalkan keperluan penukaran itu.

"Kenapa perlu tukar nama Terminal Feri Tanjung Gemok kepada nama Inggeris? Apa, rasa macam tak ‘style’ ke guna nama Bahasa Melayu? Berapa ramai orang asing guna terminal itu setiap hari?," katanya.

Isu yang sama turut disuarakan oleh pengguna lain, Amshida Ahmad Rani yang beranggapan nama dalam Bahasa Melayu sudah bersesuaian.

"Tioman Harbour? Apa jelek sangatkah nama dalam bahasa Melayu?," soalnya.

Manakala, Mahendran Mathavarayan pula berpendapat bahawa nama asal lebih unik dan sepatutnya dikekalkan.

Seorang lagi pengguna, Mohd Radzi Jamaludin meluahkan rasa kecewa dengan perubahan yang dikatakan menghilangkan identiti tempatan.

"Nama lama yang unik diganti dengan nama yang tiada maksud, makna dan identiti," katanya.

Bagi pengguna lain, Amir Hamzah, keputusan itu bukan sahaja tidak memberi manfaat kepada rakyat, tetapi menggambarkan kurangnya jati diri dalam kalangan perancang.

Menurutnya, pihak berkuasa sepatutnya menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lebih mendesak seperti masalah jalan raya dan perparitan yang belum diselesaikan sejak bertahun-tahun.

"Lebih baik difikirkan cara untuk tambah baik dan menyelesaikan masalah-masalah dalam negeri seperti masalah air bertakung atas jalan sepanjang Jalan Kemaman-Kuantan bermula lampu isyarat ke Pelabuhan di Seberang Balok sehingga ke lampu isyarat simpang empat Jupem di Pelindung apabila hujan.

"Masalah kualiti jalan yang tak masuk akal. Semua ini masalah yang tidak pernah selesai sejak belasan tahun dulu. Tempat lain pun sudah tentu alami perkara yang sama.

"Semoga pentadbir negeri Pahang dapat buat keputusan yang tinggi impak dan mendatangkan perkara yang baik-baik buat anak tempatan," tulisnya.

Untuk rekod, pada 11 Februari lepas, Jabatan Laut Malaysia mengumumkan bahawa nama Tioman Harbour yang menjadi perdebatan ramai kini ditukar kepada Terminal Feri Penumpang Teluk Gading. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram