
PENGANGGUR berusia 54 tahun didakwa membunuh ibu kepada tiga anak, yang juga dikenali sebagai penyanyi sambilan di Mahkamah Majistret Melaka.
Pertuduhan terhadap Hong Yew Peng dibacakan di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin pada Jumaat.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes pembunuhan terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
BACA LAGI: Sampai 3 kali kena saman sehari, penduduk Kuchai Entrepreneurs Park harap DBKL sedia pelekat bulanan
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan sehingga menyebabkan kematian Ling Lu Cheng, 52.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Seri Mangga, Taman Seri Mangga Seksyen 1, Melaka sekitar pukul 1.30 pagi dan pukul 3.30 pagi pada 22 Februari.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, tertuduh tiba di kompleks mahkamah dengan memakai pakaian pesakit Hospital Melaka dengan tangan kiri berbalut akibat kecederaan.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliyah Ahmad Kamarulnajuib tidak menawarkan jaminan, kerana kesalahan itu tidak boleh diikat jamin.
Mahkamah menetapkan 21 April sebagai tarikh sebutan seterusnya.
Pada 23 Februari lepas, media melaporkan mangsa yang sudah berkahwin ditemui berlumuran darah di atas katil bersebelahan dengan suspek, di sebuah rumah teres dua tingkat yang disewa.
Mangsa dari Taman Sri Aman, Masjid Tanah menyewa rumah itu sejak enam bulan lepas manakala suaminya menetap di Kuala Lumpur.
Asisten Komisioner Christopher Patit sebelum ini, berkata, kesan tikaman mengakibatkan pendarahan teruk dan pakar forensik mengesahkan punca kematian adalah luka tikaman pada aorta.
"Mangsa mengalami 14 tikaman iaitu tiga di muka, lima di dada, lima di lengan kiri dan tangan serta satu di betis kanan.
“Pemeriksaan dalaman mayat mengesahkan arwah mengalami kecederaan maut iaitu luka tikaman di dada kiri berdasarkan hasil bedah siasat,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram