
"INI Ramadan kelapan kami tanpa Zulfarhan," luah bapa kepada Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain, Zulkarnain Idros selepas menerima keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengetepikan hukuman mati ke atas enam bekas kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan menggantikannya dengan hukuman penjara 18 tahun.
Mengenang Ramadan bersama arwah anaknya, Zulkarnain berkata, Zulfarhan biasanya akan pulang bercuti untuk menyambut Ramadan bersama keluarga.
Antara kenangan yang paling dirinduinya adalah saat arwah membawa ibu dan adik-adiknya membeli baju raya.
BACA LAGI: Gula-gula gummy mata tiada lagi di pasaran, dikeluarkan dari platform online
Enam bekas kadet UPNM yang bersalah membunuh rakan kadet Zulfarhan kekal menjalani hukuman penjara 18 tahun.
"Selepas beliau meninggal, tahun-tahun awal pemergiannya kami masih tertunggu kepulangan beliau sewaktu bulan Ramadan.
"Kenangan lain ialah apabila beliau dapat pulang awal daripada UPNM, beliau akan membawa ibu dan adik-adiknya untuk membeli baju raya,” katanya kepada Majoriti.
Ketika diminta mengulas mengenai keputusan mahkamah yang hanya menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun ke atas tertuduh, Zulkarnain tidak dapat menyembunyikan kesedihannya.
“Saya sedih menerima keputusan ini. Saya sangka kalau hukuman ditukarkan daripada Seksyen 302 (Kanun Keseksaan) sekali pun, sekurang-kurangnya tertuduh dihukum selama 25 tahun penjara. Ini hanya 18 tahun,” ujarnya.
Beliau mengaku ada berharap untuk menyemak semula keputusan mahkamah setelah menerima keputusan mahkamah yang menggantikannya dengan hukuman penjara 18 tahun.
"Saya pun ada tanya pendakwa raya ada tak peluang dapat menyemak balik kes ini diperingkat lebih tinggi, saya difahamkan kes ini diisytiharkan tamat," katanya.
Bercakap soal kemaafan buat tertuduh, beliau mengakui sudah memberi kemaafan, namun tidak dapat memaafkan secara penuh.
“Saya sudah memaafkan mereka tetapi tidak 100 peratus. Dalam hati ini masih ada 10 peratus lagi yang saya belum mampu maafkan.
"Walaupun sudah memaafkan, kemarahan itu tetap ada. Biarlah masa dan waktu yang menentukan,” katanya.
Tambahnya, dia tidak mahu bertemu dengan tertuduh setelah mereka dibebaskan kerana khuatir kenangan pahit akan kembali menghantuinya.
"Sekiranya budak-budak itu bebas dan hendak berjumpa saya, saya rasa tidak perlulah. Walaupun luka sudah sembuh, parut tetap ada. Itu yang saya tak mahu," katanya.
Pada Jumaat, enam bekas pelajar UPNM yang dihukum gantung kerana membunuh Zulfarhan Osman, lapan tahun lepas bernasib baik apabila Mahkamah Persekutuan Putrajaya memerintahkan mereka dijel 18 tahun.
Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.
Dalam pada itu, Ramachelvam yang mewakili perayu keempat, Muhammad Afif Najmudin Azahat, 29, juga dilaporkan berkata, semua bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sepatutnya menjalani hukuman penjara 18 tahun, namun tempoh itu dikurangkan kepada 12 tahun sekiranya berkelakuan baik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram