Pelakon Singapura, Nurul Aini lancar pakaian khusus wanita tinggi, koleksi pertama habis terjual dalam masa 70 minit


Nurul meluahkan rasa sebak selepas koleksi pertama jenamanya habis terjual. — Instagram Nurul

PELAKON dan pengacara dari Singapura, Nurul Aini baru-baru ini melancarkan jenama pakaian miliknya, Solulu Closet, dan koleksi pertamanya habis terjual dalam masa 70 minit pada 28 Februari.  

Nurul yang berusia 42 tahun dengan ketinggian 1.72 meter menyatakan di laman web jenama tersebut bahawa jenama itu direka khas untuk wanita tinggi sepertinya.

Menerusi hantaran story yang dimuat naik pada akaun Solulu Closet, jenama pakaian itu diasaskan kerana ibu kepada tiga orang anak itu sering berdepan masalah untuk memilih antara pakaian sopan atau sesuai dengan saiz badannya.

"Saya mulakan jenama pakaian ini kerana saya sudah penat memilih antara pakaian sopan atau sesuai dengan saiz badan, kenapa tidak kedua-duanya?” tulis hantaran itu. 

BACA LAGI: [VIDEO] Mungkin tergelincir ketika kemas rumah, Ridz Okumura dedah kejadian sebenar isteri jatuh kondo di Subang Jaya

BACA LAGI: Sampai 3 kali kena saman sehari, penduduk Kuchai Entrepreneurs Park harap DBKL sedia pelekat bulanan

Nurul Aini memulakan kariernya sebagai pelakon dan pengacara pada tahun 2002.  — Instagram Nurul

Tidak hanya itu, jenama itu juga menawaran pakaian yang bergaya dan sopan sekali gus menonjolkan ketinggian si pemakai, pada masa sama masih selesa dan tampil lebih yakin.

Suaminya yang merupakan ejen hartanah, Sofian Roslan, 42, turut berkongsi video di sebalik tabir pelancaran jenama tersebut di Instagram pada 28 Februari.  

“Dengan semangat dan usaha yang telah dicurahkannya untuk memulakan jenama pakaian ini, bekerja keras selama berjam-jam, berdepan pelbagai cabaran untuk menjadikannya satu realiti. Hari ini, impian itu menjadi kenyataan.

“Saya sangat bangga dengan awak kerana berjaya melakukannya sendiri. Seperti mana awak menyokong saya, saya juga akan sentiasa menyokong awak dalam apa jua yang dilakukan," tulis Sofian dalam hantaran tersebut.

Tangkap layar memaparkan, Nurul dan suaminya selepas koleksi pertama Solulu Closet dilancarkan untuk pembelian. — Instagram Nurul

Dalam video tersebut yang mula dirakam 10 minit sebelum pelancaran dalam talian, Nurul berkongsi bahawa dia berasa gementar, teruja dan bimbang dengan sambutan terhadap koleksi pakaiannya.  

“Macam mana kalau hanya dua orang sahaja yang beli?” ujar pelakon Third Rail itu.  

Pesanan pertama diterima tepat pada tengah hari, sejurus pelancaran bermula dan semua produk habis terjual pada pukul 1.10 petang.  

“Saya sangat bersyukur dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua,” kata Nurul yang kelihatan sebak sambil memeluk suaminya di penghujung video.

“Saya begitu bersemangat dalam bidang ini, dan saya sangat gembira dengan sambutan yang diberikan. Terima kasih.”  

Terbaharu, Solulu Closet mengumumkan di media sosial pada 3 Mac bahawa mereka akan menambah stok bagi koleksi yang telah habis terjual serta memperkenalkan item baharu pada 4 Mac. 

Sekali lagi, koleksi yang dilancarkan itu turut habis terjual dalam masa singkat.

"Kami menambah semula stok dan anda menghabiskannya masa yang singkat. Terima kasih kerana memilih Solulu menjadi sebahagian dalam almari pakaian anda," katanya dalam satu hantaran di akaun Instagram Solulu Closet. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram