Baju Melayu hijau zamrud hanya tinggal kenangan, isteri Baddrol Bakhtiar sayu baby Darwisy tak sempat pakai raya


  • Massa
  • Jumaat, 07 Mac 2025

Anak lelaki Baddrol Bakhtiar disahkan meninggal dunia pada Rabu.

"WAKTU ini mahu cuba baju raya Darwisy yang baru sampai. Tapi Darwisy tak sempat pakai," itulah luahan pilu isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, Nur Izyan Mustafa Khalid, selepas pemergian anak bongsu mereka, Muhammad Darwisy.

Dalam satu hantaran di Instagram, isteri kepada Baddrol Bakhtiar itu berkongsi rasa sayu apabila anak kecilnya hanya sempat mengenakan baju raya yang baru dibelikan, namun tidak berpeluang bersama-sama ahli keluarga yang lain untuk meraikan Syawal.

Menerusi gambar berkenaan juga, Nur Izyan merakamkan kenangan memakaikan Darwisy baju Melayu mini berwarna hijau zamrud atau emerald green.

BACA LAGI: 'ALLAH pinjamkan Muhammad Darwisy sekejap', bayi lelaki Baddrol Bakhtiar meninggal dunia

BACA LAGI: Bermain riang kamu di sana, tunggu ayah ibu di syurga, Baddrol reda pemergian Muhammad Darwisy

Ia sepatutnya menjadi persalinan Muhammad Darwisy untuk bersama-sama menyambut Aidilfitri tetapi takdir menentukan sebaliknya.

Pada Rabu, Muhammad Darwisy, yang baru berusia lebih setahun menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Resort Homes Cinta Sayang, Sungai Petani sekitar pukul 3.15 pagi.

Satu-satunya bayi lelaki kepada bekas bintang bola sepak Kedah itu mempunyai masalah kesihatan berkaitan jantung dan paru-paru sejak lahir dan memerlukan penjagaan rapi.

Darwisy dilahirkan pada 13 Februari 2024 bersama kembar perempuannya, Dhiya Dinara. 

Sejak dilahirkan, Allahyarham memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Sultan Abdul Halim sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah awal tahun ini.

Pada 8 Januari lalu, Muhammad Darwisy akhirnya dibenarkan pulang ke rumah setelah setahun menerima rawatan di hospital. 

Namun ternyata ALLAH lebih sayangkan Muhammad Darwisy apabila Allahyarham dijemput pada Ramadan, bulan mulia penuh keberkatan.

Untuk rekod, Baddrol Bakhtiar menamatkan zaman bujangnya bersama Nur Izyan pada 14 November 2015 dan dikurniakan lagi anak perempuan, Dhiya Delisha, 9 dan Dhiya Daniya, 4 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram