
AKTIVIS politik, Liyana Marzuki menggesa Ahli Parlimen Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal untuk membuat kajian terlebih dahulu sebelum mengkritik pembayaran dividen tinggi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2024.
Dalam satu hantaran di Facebook, Liyana Marzuki meminta Wan Ahmad Fayhsal merujuk Seksyen 27 Akta KWSP 1991 yang menetapkan bahawa pembayaran dividen mestilah mencerminkan prestasi pelaburan sebenar organisasi.
"Apa kata sebelum YB buat komen dan buat sidang media tu cubalah kaji sikit.
"Untuk KWSP umum kadar dividen kepada pencarum kena nilai prestasi sebenar pelaburan. Maknanya, jumlah pelaburan (tolak) kos yang ada.
"Semua amaun selepas itu perlu dijadikan dividen untuk rakyat. KWSP ni badan berkanun. Bukan syarikat persendirian. Yang boleh suka-suka simpan keuntungan" tegasnya.
BACA LAGI: Tambah baki siap-siap jika ke Pulau Pinang, kadar parkir naik 50 peratus bermula Isnin
BACA LAGI: SPRM patut fokus siasat laporan kes rasuah bukan tahan wartawan — Takiyuddin
Kritikan itu dibuat selepas Wan Ahmad Fayhsal mendakwa langkah berkenaan mungkin bertujuan untuk menenangkan pencarum.
Mengulas lanjut, Liyana menganggap tindakan KWSP pada tahun ini adalah bertepatan.
"Isytihar dividen tinggi guna hampir kesemua pulangan pelaburan," katanya.
Tidak berdiam diri, Wan Ahmad Fayhsal tampil memberikan hujah balas terhadap kenyataan peguam itu.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, kadar dividen tinggi pada 2024 bukan disebabkan oleh peningkatan besar dalam pendapatan KWSP, sebaliknya kerana kadar pengagihan pendapatan kasar kepada pencarum (payout ratio) yang jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.
Beliau menjelaskan bahawa pendapatan kasar KWSP meningkat sebanyak 11.2 peratus kepada RM74.5 bilion pada 2024, berbanding RM66.99 bilion (2023).
Pada masa sama, jumlah nilai simpanan pencarum juga meningkat sebanyak 10 peratus daripada RM1.14 trilion kepada RM1.25 trilion.
"Secara logiknya, apabila kenaikan pendapatan KWSP pada 11.2 peratus adalah lebih tinggi daripada kenaikan jumlah simpanan pencarum pada 10 peratus, maka dividen 2024 memang sepatutnya lebih tinggi berbanding 2023.
"Tetapi kenaikannya tidaklah besar kerana perbezaan peratusan itu tidak jauh. Apa yang menyebabkan dividen meningkat ke 6.3 peratus pada 2024 berbanding 5.5 peratus pada 2023 ialah payout ratio yang lebih tinggi.
"Pada 2024, KWSP mengagihkan 98.36 peratus daripada pendapatan kasarnya sebagai dividen, berbanding hanya 86.30 peratus pada 2023," jelasnya.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, langkah itu menimbulkan persoalan kerana jika KWSP mengekalkan payout ratio pada tahap 86.30 peratus seperti tahun sebelumnya, kadar dividen 2024 sepatutnya hanya sekitar 5.53 peratus, hampir sama dengan 2023.
"Tiada sebab munasabah untuk payout ratio dinaikkan begitu tinggi melainkan atas sebab-sebab politik. Biasanya, jika payout ratio terlalu tinggi pada satu tahun, tahun berikutnya ia mungkin perlu diturunkan untuk mengekalkan kestabilan rizab KWSP.
"Ini bermakna, kemungkinan besar dividen 2025 tidak akan lebih tinggi daripada 2024 kecuali pendapatan KWSP meningkat jauh lebih cepat," katanya.
Liyana bagaimanapun menegaskan bahawa tiada masalah sekiranya rakyat mendapat manfaat daripada pembayaran dividen yang lebih tinggi.
"YB, bukan semua perkara perlu dipolitikkan. Jika jumlah pelaburan ditolak kos dan hasilnya dibayar sebagai dividen kepada rakyat, apa masalahnya. Adakah YB tidak pernah ada simpanan KWSP?
"Jika YB benar-benar mahu membantu KWSP, apa kata YB pulangkan semula dividen yang diterima. Hakikatnya, YB hanya membangkang semata-mata.
"Jika kerajaan menuruti cadangan YB sekalipun, YB tetap akan membantah dan mengatakan ia tidak mencukupi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram