
PENGGUNA jalan raya di Pulau Pinang disarankan untuk menambah nilai dalam aplikasi Penang Smart Parking susulan kenaikan kadar caj parkir sebanyak 50 peratus yang akan berkuat kuasa mulai Isnin.
Di bawah kadar baharu itu, caj parkir akan meningkat daripada RM0.40 kepada RM0.60 bagi setiap 30 minit, manakala kadar harian dinaikkan daripada RM6 kepada RM8.
Bagaimanapun, kadar pas bulanan kekal pada harga RM150.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A. Rajendran menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi mengelakkan penggunaan petak parkir secara berpanjangan yang menyukarkan orang lain untuk mendapatkan tempat letak kenderaan.
"Terdapat pemandu yang meletakkan kenderaan mereka selama 10 hingga 12 jam sehingga menyebabkan kekurangan ruang parkir untuk orang lain.
"Oleh itu, kami turut mempertimbangkan had masa parkir di kawasan yang sibuk," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa MBPP sedang bekerjasama dengan pemaju bagi memastikan kemudahan parkir swasta mengikut struktur kadar bayaran yang sama dengan pihak majlis.
"MBPP telah membuka tender bagi pembangunan kemudahan parkir bertingkat di Weld Quay sebagai langkah menambah ruang parkir di kawasan bandar.
"Kami juga merancang beberapa inisiatif lain bagi mengurangkan kesesakan dan mewujudkan sistem parkir yang lebih tersusun," tambahnya.
Untuk rekod, kali terakhir kadar caj parkir dinaikkan ialah pada 2014 iaitu kadar bagi setiap 30 minit meningkat daripada 30 sen kepada 40 sen.
Sebelum itu, kadar tersebut tidak pernah berubah sejak 1990-an. — The Star/ S. SEKARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram