'Hanya gugat keharmonian negara', PMO minta elak guna perkataan sentuh 3R


  • Primer
  • Selasa, 04 Mac 2025

PMO tekankan untuk tidak sentuh isu 3R yang hanya akan menggugat keharmonian negara.

SEBARANG kenyataan atau tindakan yang menyentuh isu 3R (kaum, agama dan institusi diraja) hanya akan menggugat keharmonian negara dan tidak boleh diulangi, tegas Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Dalam taklimat harian PMO pada pukul 4.30 petang Selasa, Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tunku Nashrul Abaidah berkata, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar mengelakkan polemik berkaitan 3R dalam apa jua bentuk serta mengutamakan rasa hormat dalam masyarakat.

"Perdana Menteri juga menekankan kepentingan rakyat untuk menghayati dan mengamalkan prinsip Rukun Negara demi mengekalkan keharmonian serta menolak sebarang tindakan yang boleh menjejaskan perpaduan negara," katanya.

BACA LAGI: Tambah baki siap-siap jika ke Pulau Pinang, kadar parkir naik 50 peratus bermula Isnin

BACA LAGI: SPRM patut fokus siasat laporan kes rasuah bukan tahan wartawan — Takiyuddin

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penyebaran video beberapa penyampai radio Era FM yang meniru tarian kavadi Hindu di platform media sosial stesen itu pada pagi Selasa.

Video tersebut menerima kecaman hebat daripada rakyat Malaysia dengan sebahagian besar menganggapnya sebagai tidak sensitif terhadap komuniti beragama Hindu.

Berikutan itu, Astro Audio telah memohon maaf dan meluahkan kekesalan atas kejadian tersebut.

Tiga individu yang terlibat dalam insiden berkenaan juga telah digantung siaran sehingga diberitahu kelak.

Pihak penyiar turut memaklumkan bahawa mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan pengawal selia bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap garis panduan serta peraturan yang ditetapkan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram