Warga emas ditemui mati dengan kesan terbakar, dipercayai dibunuh anak OKU mental di Alor Setar


  • 112
  • Isnin, 03 Mac 2025

Suspek didakwa membunuh ibunya dalam sebuah rumah di Jalan Tok Keling, Alor Setar pada Ahad.

LELAKI berusia 43 tahun didakwa membunuh ibunya yang ditemui dengan kesan terbakar dalam sebuah rumah di Jalan Tok Keling, Alor Setar, Kedah pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan melalui talian MERS 999 berhubung kejadian itu sekitar pukul 7.48 pagi.

"Polis yang tiba di lokasi kejadian membuat tangkapan terhadap suspek yang dikatakan mengamuk sebelum bertindak sedemikian.

BACA LAGI: Tambah baki siap-siap jika ke Pulau Pinang, kadar parkir naik 50 peratus bermula Isnin

BACA LAGI: SPRM patut fokus siasat laporan kes rasuah bukan tahan wartawan — Takiyuddin

"Pemeriksaan lanjut polis sejurus itu pula menemukan mayat wanita warga emas dalam keadaan terbakar di dalam rumah, dipercayai dibunuh," katanya dalam kenyataannya pada Isnin.

Tambahnya lagi, siasatan awal yang diambil berdasarkan temu bual dengan anak suspek yang berusia 14 tahun mendapati remaja itu terdengar pertengkaran antara bapanya (suspek) dengan neneknya (mangsa) sekitar pukul 7 hingga 7.30 pagi.

Siti berkata, remaja itu segera keluar dari bilik dan melarikan diri ke luar rumah untuk mendapatkan bantuan jiran sebaik sahaja mendengar jeritan neneknya yang meminta pertolongan.

"Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku namun diancam oleh suspek, menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Sebaik polis tiba, lelaki itu berjaya ditahan di hadapan rumah dan pemeriksaan lanjut menemui ibu suspek, yang berusia 68 tahun dalam keadaan terbakar," katanya.

Mengulas lanjut, Siti Nor Salawati berkata, hasil semakan mendapati suspek adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.

Beliau berkata, mayat wanita warga emas itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan masih lagi dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram