[VIDEO] Pemandu lori parah kena langgar lari, suami isteri warga emas ditahan cubaan bunuh di Kajang


  • 112
  • Isnin, 03 Mac 2025

Lelaki dilanggar dan diseret ke atas pembahagi jalan di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, Selangor baru-baru ini.

PASANGAN suami isteri ditahan berikutan kes langgar lari di Bandar Teknologi Kajang, Semenyih, Selangor baru-baru ini.

Insiden yang mengejutkan itu berjaya dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan awam yang berada di lokasi kejadian.

Rakaman menunjukkan sebuah kenderaan berwarna hitam dengan sengaja merempuh mangsa sejurus dia turun dari lori yang dipandunya. 

BACA LAGI: Tambah baki siap-siap jika ke Pulau Pinang, kadar parkir naik 50 peratus bermula Isnin

BACA LAGI: SPRM patut fokus siasat laporan kes rasuah bukan tahan wartawan — Takiyuddin

Mangsa terpelanting sebelum diseret dengan kejam sehingga menyebabkan kecederaan serius yang mengakibatkannya tidak mampu bergerak.

Pemandu kenderaan berkenaan kemudian melarikan diri tanpa sedikit pun rasa belas kasihan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada ibu mangsa, wanita berusia 63 tahun sekitar pukul 4.54 petang Ahad.

Wanita itu memaklumkan bahawa anaknya telah menghubunginya pada tengah hari Jumaat untuk memberitahu bahawa dia dilanggar sehingga cedera parah.

Bimbang akan keadaan anaknya, wanita tersebut bergegas ke lokasi kejadian sebelum membawa mangsa ke hospital untuk mendapatkan rawatan segera.

Berdasarkan siasatan dan bukti rakaman dashcam, pihak polis berjaya menahan dua suspek yang merupakan pasangan suami isteri warga tempatan berusia 73 dan 65 tahun. 

Mereka diberkas sekitar pukul 11.15 malam Ahad bagi membantu siasatan lanjut.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara berbahaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram