Mayat reput ditemui dalam tandas terbiar, dipercayai lelaki OKU mental sering merayau di Pantai Bukit Keluang


  • 112
  • Isnin, 03 Mac 2025

Mayat ditemukan dalam keadaan mereput di sebuah tandas terbiar di sekitar Pantai Bukit Keluang, Kampung Raja, Terengganu pada Ahad petang.

MISTERI kehilangan lelaki yang sering berkeliaran di sekitar Pantai Bukit Keluang, Kampung Raja, Terengganu akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan dalam keadaan mereput di sebuah tandas terbiar pada Ahad petang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, penemuan mengejutkan itu disedari orang awam yang kemudian menghubungi pihak polis pada pukul 4.21 petang.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati mayat berada dalam keadaan hampir mereput, dipercayai telah meninggal dunia lebih tujuh hari. 

"Bagaimanapun, siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: Tambah baki siap-siap jika ke Pulau Pinang, kadar parkir naik 50 peratus bermula Isnin

BACA LAGI: SPRM patut fokus siasat laporan kes rasuah bukan tahan wartawan — Takiyuddin

Md Sani berkata, temu bual dengan saksi awam mendapati mangsa merupakan seorang individu orang kurang upaya (OKU) mental yang kerap dilihat berada di kawasan pantai tersebut.

Saksi berkata, lelaki itu tidak kelihatan sejak beberapa hari lalu, sementara seorang lagi saksi yang dipercayai abang kepada mangsa mengakui adiknya tidak pulang ke rumah dalam tempoh sama. 

Namun, tiada laporan polis dibuat mengenai kehilangannya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut bagi tujuan pengecaman serta bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian. 

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram