
SEORANG kanak-kanak yang berpakaian sekolah nyaris maut apabila hampir dirempuh sebuah lori dalam kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau, Ketiau, Putatan, Sabah pada pagi Jumaat.
Menerusi rakaman tular berdurasi 11 saat di media sosial, kedengaran seorang lelaki menjerit 'Allahuakbar' ketika menyaksikan kemalangan tersebut yang dipercayai melibatkan kira-kira 13 kenderaan.
BACA LAGI: Gula-gula gummy mata tiada lagi di pasaran, dikeluarkan dari platform online
Berdasarkan laporan awal, sebanyak 13 kenderaan termasuk lori dan motosikal terlibat dalam insiden itu.
Bagaimanapun, setakat ini, hanya seorang mangsa dilaporkan mengalami kecederaan.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika sesi persekolahan masih berjalan dan kenderaan yang terlibat adalah milik ibu bapa murid serta guru sekolah berkenaan.
Punca kemalangan dipercayai akibat lori terbabit hilang kawalan ketika menuruni bukit di kawasan tersebut.
Namun, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai terutamanya penduduk setempat.
Seorang pengguna, Evelyn Nidah Nidah meluahkan rasa kecewa dengan berkata, lori besar sepatutnya dilarang melalui kawasan sekolah pada waktu sesi persekolahan kerana ia berbahaya kepada orang ramai.
“Sangat geram kerana insiden seperti ini kerap berlaku. Lori besar ini berulang kali menyebabkan kemalangan dan akhirnya orang lain yang menjadi mangsa,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna, Fazidah Fazidah menggesa pihak berkuasa untuk memperketatkan undang-undang berkaitan laluan lori di kawasan sekolah.
“Bukan sahaja di kawasan SK Tansau, malah di jalan masuk ke SK dan SMK Petagas, lori sering melalui kawasan ini pada waktu kemuncak ketika pelajar keluar dari sekolah.
"Diharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan mengadakan pemantauan sebelum lebih banyak kejadian buruk berlaku,” katanya.
Setakat berita itu ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram