Hampir 14,000 remaja hilang sejak 2014, Selangor, Johor dan Kedah rekod kes tertinggi


  • 112
  • Khamis, 27 Feb 2025

Lebih daripada 20,000 individu yang majoritinya di bawah usia 18 tahun dilaporkan hilang di Malaysia sepanjang dekad yang lalu.

LEBIH 20,000 orang dengan majoritinya di bawah usia 18 tahun dilaporkan hilang di Malaysia sepanjang dekad lalu, menurut statistik polis.

Selain itu, hampir 60 peratus daripada jumlah individu yang hilang adalah golongan perempuan yang sekali gus menimbulkan kebimbangan serius mengenai keselamatan belia di negara ini.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Fadil Marsus, sebanyak 21,722 individu telah dilaporkan hilang di seluruh negara antara 2014 hingga 2024. 

"Daripada jumlah tersebut, 13,969 (64.3 peratus) adalah mereka yang berusia bawah 18 tahun, dengan majoriti adalah perempuan (12,882 orang)," katanya kepada The Star.

BACA LAGI: CEO Alef Aeronautics dedah faktor keselamatan antara punca tidak kongsi video kereta terbang pertama berlepas dengan selamat

BACA LAGI: [VIDEO] Padah lempar kabel internet dari bawah, 2 juruteknik Indonesia rentung berpelukan terkena renjatan elektrik

Majoriti orang hilang adalah berusia 18 tahun ke bawah.

Lebih membimbangkan, dalam kalangan mereka yang berusia bawah 18 tahun, kumpulan yang paling ramai dilaporkan hilang adalah dalam kategori usia 13 hingga 15 tahun, dengan jumlah sebanyak 7,426 orang. 

Kumpulan kedua terbesar adalah dalam kategori usia 16 hingga 17 tahun (5,561), diikuti oleh usia 7 hingga 12 tahun (785) dan mereka yang berumur bawah tujuh tahun (197).

Bagi kategori usia 18 tahun ke atas, jumlah orang hilang tertinggi adalah dalam kumpulan usia 21 hingga 25 tahun (1,219) diikuti dengan usia 18 hingga 20 tahun (1,195) dan mereka yang berusia 61 tahun ke atas (1,015).

Mengikut laporan polis, negeri yang mencatatkan kes remaja hilang terbanyak dalam tempoh 10 tahun ini adalah Selangor (2,101 kes) diikuti Johor (1,952 kes) dan Kedah (1,493 kes).

Namun, Fadil memaklumkan bahawa 98 peratus kes orang hilang membabitkan individu bawah 18 tahun telah berjaya diselesaikan. 

“Daripada 13,779 kes, sebanyak 13,726 kes telah ditemukan dalam keadaan hidup, manakala baki kes melibatkan kematian,” katanya.

Bagi kes individu berusia 18 tahun ke atas, 6,653 kes (85.8 peratus) telah diselesaikan, dengan 6,025 orang (90.6 peratus) ditemui masih hidup.

Menurut Fadil, kes remaja hilang mencatatkan peningkatan sebanyak 36 peratus tahun lepas berbanding tahun sebelumnya terutamanya dalam kalangan individu berusia 13 hingga 15 tahun. 

Beliau menjelaskan bahawa antara sebab yang menyumbang kepada kes remaja hilang termasuk lari dari rumah untuk mencari kebebasan, masalah keluarga, kemalangan atau menjadi mangsa jenayah.

Sementara itu, bagi individu berusia 18 tahun ke atas, kes hilang mencatatkan peningkatan sebanyak 22 peratus pada 2024 berbanding 2023. 

“Salah faham antara ahli keluarga dikenal pasti sebagai salah satu punca utama individu lari dari rumah. Faktor lain termasuk melarikan diri dari peminjam wang, masalah kesihatan mental dan kemalangan,” ujar Fadil.

Beliau menekankan bahawa kerjasama antara agensi penguat kuasa, pertubuhan komuniti dan orang ramai adalah penting untuk mengurangkan jumlah kes orang hilang.

“Melalui kerjasama, kita dapat berkongsi sumber dan kepakaran. Kesedaran mengenai keselamatan peribadi di sekolah juga perlu ditingkatkan agar individu memahami risiko yang ada dan cara untuk kekal selamat,” tambahnya.

Fadil juga mencadangkan penggunaan penyelesaian teknologi, seperti kempen kesedaran melalui media sosial, aplikasi penjejakan dan sistem amaran kecemasan sebagai antara langkah untuk menangani kes orang hilang di negara ini. 

“Pemberian kaunseling, program pemulihan, dan reintegrasi untuk individu berisiko juga amat penting,” katanya. — The Star/FARIK ZOLKEPLI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram