
POLIS sedang mengesan lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes serangan dan ugut terhadap seorang pengawal keselamatan wanita di Bandar Puteri Puchong, Puchong, Selangor.
Siasatan itu dibuat berkait isu tular di laman X yang memaparkan seorang wanita dipukul oleh lelaki sewaktu berada di pondok pengawal keselamatan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa, wanita tempatan berusia 32 tahun pada pukul 1.30 petang, Rabu.
BACA LAGI: Hampir 14,000 remaja hilang sejak 2014, Selangor, Johor dan Kedah rekod kes tertinggi
Video tular pengawal keselamatan wanita diserang seorang lelaki.Lokasi kejadian tidak dinyatakan.Sumbermedia sosial pic.twitter.com/trloONV7wm
— MYNEWSHUB (@mynewshub) February 25, 2025
A. A. Anbalagan berkata, mangsa mendakwa insiden berlaku ketika dia sedang bertugas di pondok pengawal keselamatan sebuah pangsapuri sekitar pukul 12.30 tengah malam Selasa lepas.
“Suspek yang dikenali mangsa telah datang ke pondok tersebut dan meluahkan perasaan cinta kepadanya.
"Namun, mangsa menolak kerana sedang dalam proses perceraian.
"Suspek kemudian berang dan cuba mencederakan mangsa di leher menggunakan pisau lipat tetapi sempat ditepis,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Anbalagan berkata, sekitar pukul 3.30 pagi hari yang sama, suspek kembali ke lokasi kejadian dan bertindak lebih agresif dengan menumbuk kepala serta mencekik leher mangsa sebelum dilerai oleh rakan sekerja mangsa.
"Suspek juga dilaporkan mengugut akan membunuh mangsa.
“Sehubungan itu, pihak polis sedang berusaha mengesan dan menahan suspek," tegasnya.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 324 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 atas kesalahan mencederakan menggunakan senjata, ugutan jenayah, dan membawa senjata berbahaya di tempat awam.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-80742222. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram