
SUASANA di sebuah pusat beli-belah yang terletak di Alor Setar, Kedah bertukar kecoh apabila kanak-kanak lelaki berusia dua tahun menjerit kesakitan selepas kakinya tersepit dalam eskalator pada Isnin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.49 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi dalam tempoh lima minit.
"Sebaik tiba, kami mendapati kaki kanan kanak-kanak itu tersepit di bahagian eskalator. Pasukan penyelamat segera bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.
"Mangsa dapat distabilkan dan diserahkan kepada ibu bapanya," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wan Azizul berkata, mangsa kemudian dibawa ke sebuah hospital swasta berhampiran untuk rawatan lanjut dan operasi menyelamatkan mangsa tamat sekitar pukul 9.24 malam.
Sebelum ini, rakaman video mengenai kejadian itu tular di media sosial sehingga mengundang panik rata-rata warganet.
"Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan eskalator terutama bagi ibu bapa yang membawa anak kecil.
"Pastikan mereka sentiasa diawasi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini," kata Karlhaida. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp