Hasil pendapatan MPS meningkat, penduduk bakal terima manfaat


  • Primer
  • Selasa, 25 Feb 2025

MPS bakal melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk.

MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) bakal melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kemudahan dan kesejahteraan penduduk susulan peningkatan hasil cukai taksiran tahun ini. 

Antara manfaat segera yang akan dinikmati termasuk pemasangan tong sampah baharu, lampu LED berkuasa solar di kawasan awam serta sistem tempahan dalam talian bagi kemudahan sukan. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim memaklumkan bahawa MPS dijangka menerima tambahan hasil sebanyak RM26 juta hasil semakan semula cukai taksiran. 

BACA LAGI: [VIDEO] Budak 2 tahun tahan kesakitan kaki tersepit eskalator di pusat beli-belah Alor Setar

BACA LAGI: CEO Alef Aeronautics dedah faktor keselamatan antara punca tidak kongsi video kereta terbang pertama berlepas dengan selamat

Sehubungan itu, MPS merangka pelan pembangunan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi meningkatkan perkhidmatannya.  

"Antara langkah segera yang akan diambil termasuk pengurusan lebih sistematik terhadap anjing terbiar.  

"Sebanyak 147 papan tanda kejiranan akan diganti secara berperingkat dalam tempoh dua tahun.  

"Selain itu, 46 jenis perniagaan baharu akan ditambah ke dalam senarai 23 aktiviti perniagaan yang layak memperoleh lesen serta-merta.  

"Bagi meningkatkan keselamatan dan kebersihan, MPS juga akan memasang 50 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berisiko jenayah dan lokasi pembuangan sampah haram," katanya ketika menjawab soalan Chua Wei Kiat (PH-Rawang) mengenai perancangan MPS dalam memanfaatkan peningkatan hasil sewaktu sidang Dewan Negeri Selangor di Shah Alam, Selangor.  

Dalam perancangan jangka sederhana, Ng berkata, MPS bercadang menaik taraf semua kemudahan sukan secara berperingkat, dengan sekurang-kurangnya satu kemudahan dinaik taraf setiap tahun.  

"Pusat kitar semula berpusat akan dibangunkan di Rawang Perdana dengan tumpuan kepada kitar semula sisa organik dari premis makanan dan pasar terpilih. Selain itu, pusat ini juga akan menguruskan minyak masak terpakai serta sisa taman oleh kontraktor yang dilantik MPS.

"Turut dicadangkan ialah pemasangan papan tanda dengan kod QR di 256 cerun bagi menyediakan maklumat berkaitan cerun dan kerja-kerja penyelenggaraannya," tambahnya.  

Bagi pelan jangka panjang, Ng menyatakan bahawa MPS akan melaksanakan Pelan Tindakan Bandar Pintar MPS 2030 dan menaik taraf Kolam Air Panas Selayang bagi mempromosikan ekopelancongan.

Tidak hanya itu, MPS juga akan mempercepatkan proses kelulusan permohonan renovasi bangunan terpilih.  — The Star/ VIJENTHI NAIR

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp