Bandar Sentosa nikmati penambahbaikan infrastruktur, selaras status baharu


  • Massa
  • Selasa, 25 Feb 2025

Abd Hamid (dua dari kanan) merasmikan Bandar Sentosa sambil diperhatikan Gunaraj di sebelah kanannya.

TAMAN Sentosa di Klang, Selangor yang kini dikenali sebagai Bandar Sentosa akan menikmati infrastruktur yang ditambah baik sejajar dengan status baharunya.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Datuk Abd Hamid Hussain berkata demikian semasa majlis pengisytiharan Taman Sentosa sebagai Kawasan bandar di Taman Mesra Warga Emas di Jalan Dato Abdul Hamid 25.

Abd Hamid berkata, Bandar Sentosa yang terletak di antara Jalan Sungai Jati dan Jalan Kebun Nenas, serta bersempadan dengan Lorong Dato Dagang 52/KS7 dan Jalan Raja Nong, mempunyai Pelan Tindakan Perbandaran Sentosa meliputi kawasan seluas 890 hektar dengan populasi kira-kira 93,000 penduduk.

BACA LAGI: CEO Alef Aeronautics dedah faktor keselamatan antara punca tidak kongsi video kereta terbang pertama berlepas dengan selamat

BACA LAGI: [VIDEO] Padah lempar kabel internet dari bawah, 2 juruteknik Indonesia rentung berpelukan terkena renjatan elektrik

“Bandar Sentosa telah melalui pembangunan yang tidak teratur dan kemudahan awam tidak disediakan secara menyeluruh.

“Pelan tindakan ini telah mengambil kira keperluan semasa Bandar Sentosa,” tambahnya.

Menurut Abd Hamid, berdasarkan Rancangan Tempatan MBDK 2035 (Pengubahan 1), penggunaan tanah terbesar di Bandar Sentosa adalah untuk tujuan kediaman, diikuti zon perindustrian dan komersial.

"Bandar Sentosa mempunyai jaringan pengangkutan yang baik melalui Jalan Kebun, Jalan Sungai Jati, Jalan Raja Nong, Jalan Kebun Nenas dan Persiaran Puteri, serta Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Pantai Barat," ujarnya.

Abd Hamid turut menambah bahawa Bandar Sentosa berdekatan dengan pusat pertumbuhan utama seperti Ambang Botanik, Bandar Puteri, Bandar Putera, Bandar Bukit Tinggi 1 dan 2, Bandar Botanik, Kota Bayuemas, Bandar Parkland dan Bandar Bestari.

Perubahan status itu dikemukakan oleh ADUN Sentosa G. Gunaraj, yang dalam ucapannya meminta Abd Hamid untuk membantu mengatasi masalah banjir di Kawasan perbandaran berkenaan.

Gunaraj juga berkata, pejabatnya sedang bekerjasama dengan Jabatan Kejuruteraan MBDK untuk menjadikan perbandaran itu lebih mesra pejalan kaki.

Penduduk Bandar Sentosa, Mohd Nasir Samsuri berkata, laluan pejalan kaki perlu diwujudkan bagi memudahkan akses ke sekolah, kemudahan kesihatan, kedai runcit dan tempat rekreasi di kawasan tersebut. — The Star / EDWARD RAJENDRA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram