MAJLIS Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menamatkan perkhidmatan 15 kontraktor panel sisa industrinya kerana tidak menunjukkan prestasi positif atau gagal mematuhi keperluannya.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK, Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata, 13 operator telah ditamatkan kontrak pengendalian sisa industri ekoran gagal mengemukakan laporan bulanan.
“Salah satu operator bertindak membuang dan membakar sampah secara haram di sepanjang jalan sunyi di Kampung Jawa, Klang, tetapi berjaya ditangkap selepas penduduk setempat membuat aduan.
“Satu lagi operator memungut sisa kilang dan mengumpulnya di tepi jalan berhampiran premisnya di Meru sehingga mengganggu kawasan tanah jiran,” katanya.
BACA LAGI: MBDK nafi Taman Kucing Klang terbiar, kes 6 ekor mati sebenarnya palsu
BACA LAGI: [VIDEO] Aktif seks bebas sejak sekolah, bekas bintang Liga Super 'kaki' kelab kini hidap HIV

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK, Zaireezal Ahmad Zainuddin.
Zaireezal berkata, majlis bandar raya itu mempunyai senarai syarat ketat untuk kontraktor panel sisa industrinya.
"Pengendali yang disenaraikan dalam panel dikehendaki memberi laporan mengenai jumlah sisa industri yang terkumpul, dan sama ada ia telah dilupuskan di tapak pelupusan atau dihantar untuk dikitar semula," jelasnya.
"Laporan bulanan juga perlu mengandungi kemas kini mengenai bilangan perniagaan yang pengendali peroleh," tambahnya.
Kontraktor panel sisa industri MBDK dibentuk pada pertengahan 2022.
Zaireezal berkata, panel itu terdiri daripada senarai syarikat yang mempunyai rekod amalan terbaik dari segi pengangkutan dan pelupusan sisa kilang dalam sektor perindustrian.
MBDK kini mempunyai 164 syarikat dalam panelnya.
Pemilik dan pengusaha kilang boleh merujuk senarai syarikat tersebut yang boleh didapati melalui talian MBDK untuk mendapatkan khidmat kontraktor sisa yang diluluskan bagi kerja pelupusan sisa industri.

Timbunan sisa industri yang dikumpul oleh pengendali kontraktor panel sisa industri MBDK di salah sebuah kilang sekitar Klang.
Tambah Zaireezal, kontraktor panel sisa industri MBDK dikehendaki membayar yuran pentadbiran tahunan sebanyak RM500.
"Mempunyai senarai kontraktor sisa industri yang diiktiraf membolehkan kami mengawal kegiatan pembuangan haram," katanya.
“Jabatan kami menyemak prestasi semua operator terlibat setiap bulan.
"Syarikat dalam panel mesti mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan ejen yang bekerja untuk mereka mengalihkan serta melupuskan sisa mematuhi had undang-undang ditetapkan," katanya.
Katanya lagi, syarikat bahagian lain di Selangor yang ditugaskan untuk membuang sisa industri di daerah Klang juga perlu menjadi panel.
“Kami percaya pendekatan untuk mempunyai kontraktor panel diluluskan untuk melupuskan sisa industri mampu memberi impak positif, tetapi kami bercadang untuk menambah baik melalui penggunaan aplikasi penjejak.
"Kami berharap dalam jangka masa panjang, kilang-kilang tidak memberi kontrak kepada syarikat pelupusan sisa yang tiada kebenaran untuk beroperasi.
Menurut beliau, jabatannya akan berusaha menambah bilangan kontraktor panel. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
