
KERAJAAN Sabah akan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan kerosakan jalan raya termasuk lubang dan permukaan jalan yang mendap.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, langkah itu dibuat susulan kejayaan projek perintis di Selangor.
Inisiatif itu dijangka dilaksanakan tahun ini bagi meningkatkan kecekapan penyelenggaraan jalan serta mengurangkan kos.
BACA LAGI: [VIDEO] Status OKU suspek cabul di masjid Batang Kali masih dalam siasatan, polis reman 7 hari
Shahelmey berkata, keputusan tersebut dicapai selepas perbincangan bersama syarikat konsesi dan jurutera daerah di seluruh negeri.
"Kami yakin teknologi ini dapat meningkatkan keberkesanan dalam penyelenggaraan jalan raya dan, dalam jangka panjang, mengurangkan kos keseluruhan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa teknologi sahaja tidak mencukupi, sebaliknya syarikat konsesi dan kontraktor perlu memainkan peranan proaktif dalam menyelenggara jalan negeri, persekutuan serta jalan di bawah seliaan majlis daerah bagi mengelakkan kemalangan.
Meskipun berdepan kekangan kewangan, beliau memberi jaminan bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) akan tetap mengutamakan penyelenggaraan jalan bagi mengelakkan kerosakan semakin teruk.
"Kami sedar akan keterbatasan kewangan, seperti yang sering saya nyatakan dalam Dewan Undangan Negeri.
"Kekangan ini menyebabkan kelewatan dalam kerja-kerja pembaikan jalan yang diperlukan.
"Namun, kekurangan dana tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab. Lubang jalan dan bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya mesti ditangani dengan segera," tegas Timbalan Ketua Menteri III itu.
Shahelmey turut menggesa penguatkuasaan lebih ketat terhadap penyelenggaraan berkala, dengan menyatakan bahawa syarikat konsesi dan pasukan JKR daerah sudah pun bertanggungjawab menjalankan rondaan.
Beliau menyeru mereka agar meningkatkan usaha dan memastikan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan dengan cekap.
Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam perutusan Tahun Baharu kepada penjawat awam telah mengarahkan JKR untuk mempergiat usaha membaiki jalan raya.
Keperluan mendesak itu turut ditekankan susulan kejadian kemalangan maut di Jalan Lido baru-baru ini iaitu berkait seorang lelaki berusia 30-an yang dilaporkan meninggal dunia selepas terbabas akibat terlanggar lubang jalan. — The Star/ SANDRA SOKIAL
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram