
WARGA emas berusia 67 tahun yang dilaporkan hilang sejak Khamis selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di jeti Kampung Menchali, Kuala Rompin, Pahang ditemui lemas pada Jumaat.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Salahuddin Isa berkata, mangsa, Saari Awang ditemukan pada pukul 7.45 pagi oleh orang awam.
"Mayat mangsa ditemukan terapung kira-kira 2.5 kilometer dari lokasi dia dipercayai terjatuh.
"Susulan itu, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan kes berkait lelaki berasal dari Felda Keratong 6, Muadzam Shah, Rompin itu yang pergi ke kawasan jeti berkenaan untuk memancing sebelum dipercayai tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram