
RAKYAT Malaysia disarankan untuk mencontohi Sarawak yang terkenal dengan perpaduan kaum yang kukuh dan harmoni, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Chang Lih Kang berkata, Sarawak bukan sahaja model terbaik untuk hubungan antara kaum tetapi juga telah membuktikan bahawa kepelbagaian adalah aset yang mesti dipelihara.
"Kita perlu mendidik anak-anak bahawa kepelbagaian adalah satu khazanah yang tidak ternilai bagi negara.
"Sarawak adalah contoh terbaik dalam menyatukan pelbagai kaum secara harmoni.
"Saya menyeru rakan-rakan di Semenanjung untuk belajar daripada Sarawak dan Borneo secara keseluruhannya," katanya dalam Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Zon Tengah PKR di Sibu, Sarawak.
Majlis tersebut dihadiri lebih 500 tetamu termasuk pemimpin cabang PKR dari Saratok, Tanjung Manis, Igan, Sarikei, Julau, Kanowit, Sibu, Mukah, Selangau, Kapit dan Baram.
Turut hadir ialah ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Romli Ishak dan Datuk Hans Isaac serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak, Roland Engan.
Sementara itu, Pengerusi PKR Lanang, Michael Lee menyatakan hasrat untuk menjemput Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sibu bagi mengeratkan hubungan serta meneliti keperluan rakyat di kawasan tengah Sarawak.
Beliau turut menggesa semua pihak untuk bekerjasama merealisasikan jemputan tersebut.
Dalam majlis itu, Chang turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM30,000 bagi melaksanakan program tebatan banjir di Sarawak. — The Star/ ANDY CHUA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram