'Ibu bapa kena buat dulu', latih anak makan sayur sejak kecil cara Maryam Durian Kimchi didik Rina


  • Berita
  • Rabu, 19 Feb 2025

Maryam dan Ryzal Ibrahim bersama anak perempuan mereka, Rina.

PEMAKANAN anak kecil memainkan peranan penting dalam tumbesaran dan perkembangan mereka.

Setiap ibu bapa mempunyai pendekatan tersendiri dalam memperkenalkan makanan kepada anak-anak.

Personaliti media sosial terkenal, Maryam Younarae berkongsi pengalaman dalam mendidik anaknya, Rina mengenai pemakanan sihat dan seimbang.

BACA LAGI: 'Sampai sekarang saya masih sesuaikan diri', Wany Hasrita pernah rasa terlampau penat selepas bergelar ibu

BACA LAGI: [VIDEO] Lap meja, basuh pinggan lepas makan, warganet puji cara Ryzal, Maryam didik anak usia 4 tahun berdikari

Wanita lebih dikenali sebagai Maryam Durian Kimchi itu berkata, pemakanan anak sebenarnya dipengaruhi oleh tabiat makan ibu bapa sendiri.

Sejak kecil, Maryam sering makan sayur-sayuran di hadapan Rina seperti saderi dan tomato, yang akhirnya menarik minat anaknya itu untuk mencuba makanan tersebut.

"Saya jenis tidak memilih makanan. Jadi, apabila makan sayur-sayuran, Rina pun teringin untuk mencuba. Saya beri dia rasa dan akhirnya dia suka makan dan makan bersama saya," katanya kepada Majoriti.

Maryam menegaskan bahawa anaknya cenderung meniru apa yang dimakan oleh ibu bapa.

Jika ibu bapa sering mengambil makanan segera dan kurang makan sayur, anak-anak juga akan mengikut tabiat sama.

Oleh itu, beliau percaya bahawa penting untuk ibu bapa mengamalkan diet seimbang agar menjadi contoh terbaik buat anak-anak sejak kecil.

WhatsApp_Image_2025-02-18_at_4.01.49_PM

Keletah Rina yang sentiasa gembira menikmati apa saja sajian sentiasa menarik perhatian warga net.

Selain itu, wanita berusia 33 tahun itu turut berkongsi kepentingan memasak makanan sendiri untuk anak dan keluarga.

Walaupun sibuk dengan kerjaya, beliau tetap berusaha menyediakan makanan sendiri untuk anaknya yang juga terkenal dengan panggilan Durian Kimchi 'Junior'.

Baginya, makanan yang dimasak di rumah lebih sihat dan seimbang kerana boleh mengawal penggunaan garam dan gula dalam hidangan permata hati..

"Kalau di rumah, saya cuba masak sendiri untuk Rina kerana percaya air tangan ibu lebih baik untuk anak.

"Kalau keluar, kita akan pilih makanan Malaysia seperti laksam, ikan bakar, mihun goreng dan nasi ayam Hainan kerana Rina memang suka makanan seperti itu," ujar Maryam.

Menurut Maryam, setiap kali makan di luar, Rina tidak suka menu kanak-kanak, sebaliknya lebih memilih hidangan yang biasa dimakan oleh orang dewasa.

"Mungkin sebab kami jarang memberi makanan segera atau makanan sejuk beku di rumah. Jadi, apabila di luar, makanan sebegitu tidak menarik minatnya," tambahnya.

Sebagai wanita berasal dari Korea, Maryam turut berkongsi bahawa ibu bapa di tanah kelahirannya sangat sensitif terhadap pemakanan anak-anak.

Mereka memastikan setiap hidangan mengandungi karbohidrat, protein, serat dan vitamin untuk memastikan anak-anak mendapat zat mencukupi.

"Di Korea, ibu bapa sangat menitikberatkan keseimbangan nutrisi dalam setiap hidangan anak-anak.

"Mereka akan memikirkan menu lengkap untuk setiap hidangan dalam sehari.

"Saya juga belajar pendekatan ini untuk memastikan Rina mendapat pemakanan sihat dan berkhasiat," jelasnya.

Terdahulu, Maryam dan Ryzal Ibrahim berkahwin pada 15 Ogos 2019 selepas setahun mengenali hati budi di Korea Selatan dan kini menetap di Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram