'ALLAH angkat darjat ke tanah suci', pak cik OKU mangsa pukul tunaikan umrah di Makkah


  • Massa
  • Selasa, 18 Feb 2025

Faizan yang tular akibat dipukul sekumpulan individu di Kemaman, Terengganu akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci buat pertama kali dalam hidupnya bagi menunaikan ibadah umrah.

ORANG kurang upaya (OKU) yang tular akibat dipukul sekumpulan individu di Kemaman, Terengganu pada 17 Januari lepas akhirnya berpeluang menjejakkan kaki ke tanah suci buat pertama kali dalam hidupnya bagi menunaikan ibadah umrah.

Lelaki itu, Ahmad Nor Al Faizan berangkat ke Makkah bersama dua anaknya, Nurul Farhana, 21, dan Ahmad Faris, 10, pukul 2.30 pagi Isnin.

Perjalanan istimewa itu adalah hasil tajaan syarikat pengendali haji dan umrah, Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd.

BACA LAGI: [VIDEO] Hidupkan mesin tak toleh kiri kanan, kecuaian rakan sekerja punca operator kilang maut tersepit mesin hidraulik di China 8 tahun lepas

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara tak tunggu tongkang berhenti, badan lelaki nyaris terbelah

Dalam satu hantaran di laman Instagram, syarikat tersebut mengucapkan rasa syukur dan kegembiraan kerana keluarga Faizan telah selamat tiba di Makkah dan berjaya menunaikan ibadah umrah yang wajib.

"Alhamdulillah, keluarga tetamu istimewa, Pakcik Faizan, telah selamat tiba di bumi suci Makkah Al-Mukarramah dan berjaya menyempurnakan ibadah umrah.

"Siapa sangka, di sebalik ujian yang menyayat hati, Allah mengangkat darjat Pakcik Faizan dengan menjemputnya ke Baitullah.

"Perjalanan ini menjadi bukti kasih sayang Allah kepada hamba-Nya yang terpilih," kata pihak Andalusia Travel and Tours.

Syarikat tersebut turut merakamkan penghargaan kepada semua yang telah menitipkan doa untuk Faizan dan keluarganya.

Mereka juga berjanji akan terus berkongsi perkembangan perjalanan keluarga ini sepanjang berada di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Perjalanan itu bukan hanya simbol harapan dan ketabahan Faizan tetapi juga menunjukkan hikmah di sebalik ujian hidup yang menimpa beliau.

Dalam kejadian 17 Januari lalu, Ahmad Nor Al Faizan, 47, cedera dibelasah beberapa individu selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar satu daripada gerai jualan di pasar berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram