Jangan buang, peniaga bazar Ramadan digalakkan jual semula minyak masak terpakai


  • Massa
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Sebanyak 990 peniaga akan mengambil bahagian dalam bazar Ramadan MBSJ.

PENIAGA yang beroperasi di bazar Ramadan di bawah Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) digesa untuk menjual minyak masak terpakai mereka kepada pihak berkuasa tempatan.

"MBSJ akan menyediakan tong kitar semula untuk minyak masak di lima bazar terpilih, yang akan dikendalikan oleh Jabatan Pengurusan Alam Sekitar," kata Datuk Amirul Azizan Abd Rahim, Datuk Bandar Subang Jaya.

"Peniaga boleh menjual minyak masak terpakai mereka pada harga RM2.50 sekilogram. Kaunter untuk tujuan ini akan disediakan di lima bazar terpilih setiap hari Sabtu dari jam 4 petang hingga 7 malam," tambahnya.

BACA LAGI: Sentuhan artistik China pengaruhi seni binaan masjid di Klang

BACA LAGI: Tasik Berombak banyak kisah misteri, penduduk beri amaran orang luar waspada

Bazar yang terlibat adalah di USJ 4 di Subang Jaya, BK5 di Bandar Kinrara, Taman Puncak Jalil di Seri Kembangan, Taman Equine dan Taman Sri Serdang.

Amirul Azizan berkata demikian ketika merasmikan Karnival dan Taklimat Bazar Ramadan MBSJ 2025 di Dewan MBSJ Puchong Indah, Puchong.

479440531_639834588409996_1622275069046108824_n

Para peniaga bazar Ramadan MBSJ disaran menggunakan transaksi tanpa tunai. — Facebook/MBSJ

Datuk Bandar turut menggesa peniaga untuk menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai bagi menjadikan bazar lebih mesra pengguna.

"Pembayaran tanpa tunai memberi kemudahan kepada peniaga dan pengguna.

"Pengunjung tidak perlu lagi membawa wang tunai ke bazar kerana semua transaksi boleh dilakukan melalui telefon pintar mereka," katanya.

Dia juga menyeru peniaga agar mengelakkan pembaziran makanan serta tidak menggunakan bekas polistirena dan penyedut minuman plastik.

"Peniaga turut digalakkan untuk menyumbang kepada Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang ditawarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," tambahnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, Abbas Salimmi Che Adzmi@Azmi, dan Ketua Pegawai Operasi Agrobank, Zahid Ahmad Zawawi.

Amirul Azizan turut mengumumkan MBSJ akan bekerjasama dengan Agrobank bagi menyokong peniaga dalam menerapkan sistem pembayaran tanpa tunai di gerai mereka.

"Agrobank menawarkan kanopi berukuran 2.4m x 2.4m kepada peniaga yang menyertai inisiatif ini di tiga bazar MBSJ: BK5 di Bandar Kinrara, Taman Equine dan Taman Puncak Jalil di Seri Kembangan.

"Peniaga yang menyertai inisiatif ini juga akan menerima standee kod QR Agrobank untuk dipamerkan di gerai mereka," katanya.

Menurut kenyataan MBSJ, tahun ini terdapat 21 bazar Ramadan dengan 1,367 lot yang disediakan untuk 990 peniaga.

Subang Jaya akan mempunyai enam bazar, Kinrara (dua), Puchong (tujuh), Putra Heights (satu), dan Serdang/Seri Kembangan (lima).

Karnival dan taklimat selama dua hari itu diadakan bagi memberi pendedahan kepada peniaga bazar Ramadan mengenai peraturan serta meningkatkan kesedaran tentang pengurusan makanan dan sisa, kitar semula, serta penggunaan sumber secara cekap. — The Star/LEW GUAN XI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram