[VIDEO] Gagal mohon suaka, lelaki Afghanistan rempuh orang ramai di Munich


  • Benua
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Sekurang-kurangnya 30 orang, termasuk kanak-kanak, cedera dalam insiden serangan terhadap demonstrasi kesatuan sekerja di Munich, Jerman pada Khamis. — Agensi

SEKURANG-KURANGNYA 30 orang, termasuk kanak-kanak, cedera dalam insiden serangan terhadap demonstrasi kesatuan sekerja di Munich, Jerman, dipercayai dilakukan oleh seorang pendatang yang gagal dalam permohonan suaka pada Khamis.

Menurut polis Jerman, suspek, Farhad N. yang merupakan warga Afghanistan berusia 24 tahun memandu sebuah kereta jenis Mini Cooper ke arah perhimpunan kesatuan sekerja Verdi sekitar pukul 10.30 pagi (waktu tempatan), ketika pekerja sektor awam melancarkan mogok menuntut kenaikan gaji dan cuti lebih panjang.

Kenderaan itu dipercayai dipandu laju dan merempuh sekumpulan peserta di bahagian belakang perhimpunan yang dihadiri kira-kira 1,500 orang.

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek, mangsa kes tetak di Johor Bahru saling tak mengenali, gaduh mulut jadi punca amukan

BACA LAGI: [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

Antara mangsa yang cedera termasuk kanak-kanak, dengan beberapa orang mengalami kecederaan serius.

Turut tular beberapa video dan gambar menunjukkan kenderaan yang rosak serta orang awam bergelimpangan di jalan raya dalam keadaan berlumuran darah.

Sementara itu, memetik laporan berita antarabangsa, kejadian itu juga berlaku ketika Jerman sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya pada 23 Februari.

Insiden itu juga dijangka membangkitkan ketegangan berkaitan keselamatan dan imigrasi.

Canselor Jerman, Olaf Scholz, menyifatkan serangan itu sebagai 'mengerikan' dan menegaskan dasar 'tanpa toleransi' terhadap pelaku jenayah.

"Penyerang ini tidak boleh mengharapkan sebarang kelonggaran. Dia mesti dihukum dan dihantar pulang," kata Scholz kepada wartawan.

Pada masa sama, Ketua pembangkang, Friedrich Merz, pula berjanji akan menegakkan undang-undang dan ketenteraman dengan tegas sekiranya dilantik sebagai canselor.

"Keselamatan rakyat Jerman akan menjadi keutamaan kami. Semua orang mesti merasa selamat di negara ini," katanya di platform media sosial X.

Sementara itu, Alice Weidel, pemimpin parti pelampau kanan Alternative Furr Deutschland (AfD), menyalahkan pihak berkuasa Bavaria kerana gagal menghantar pulang suspek lebih awal.

"Adakah kita mahu perkara ini berterusan selama-lamanya? Polisi imigrasi mesti diubah segera!" tegasnya.

Menurut laporan Spiegel, suspek yang dikenali sebagai Farhad N. tiba di Jerman sebagai pemohon suaka pada Disember 2016.

Sumber turut mendedahkan bahawa dia pernah memuat naik kandungan berunsur Islamis di media sosial sebelum insiden berlaku.

Menteri Dalam Negeri Bavaria, Joachim Herrmann, sebelum ini menyatakan suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan kecurian dan dadah, namun kemudian membetulkan kenyataan dengan menyatakan bahawa suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan tinggal secara sah di Jerman.

Polis turut mengesahkan suspek bekerja dalam bidang keselamatan runcit dan pernah menjadi saksi dalam beberapa kes yang disiasat sebelum ini.

Ketika ditahan, polis melepaskan satu tembakan, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada suspek cedera.

"Seperti yang dilaporkan, individu yang ditahan ialah pemandu kenderaan tersebut. Terdapat spekulasi mengenai penglibatan individu lain, tetapi kami tidak dapat mengesahkannya buat masa ini," menurut kenyataan polis di laman X (Twitter).

GjuqqclWcAAjGPV

Suspek memandu kereta jenis Mini Cooper secara laju dan merempuh sekumpulan peserta perhimpunan kesatuan sekerja Verdi yang dihadiri kira-kira 1,500 orang. — Agensi

Insiden berkenaan berlaku beberapa hari sebelum Persidangan Keselamatan Munich yang akan bermula pada Jumaat dan bakal dihadiri oleh pemimpin dunia termasuk Naib Presiden Amerika Syarikat, JD Vance, dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

Namun, pihak berkuasa menegaskan bahawa serangan ini tidak berkaitan dengan persidangan tersebut.

Serangan terbaru ini mengingatkan kembali insiden sebelum ini di Jerman. Pada Disember lalu, sebuah kenderaan merempuh pasar Krismas di Magdeburg, mengorbankan enam orang.

Manakala pada Ogos, seorang warga Syria berusia 26 tahun melakukan serangan menggunakan pisau di sebuah festival di Solingen, membunuh tiga orang dan mencederakan lapan yang lain. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram