Dadah: Nasib penyanyi ‘Bey Soba Bey’ diketahui 6 Mac, terpaksa sambut Ramadan di Narathiwat


Enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden Kelantan ditahan di sebuah hotel di Thailand pada 1 November 2024.

KEPUTUSAN Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand menetapkan 6 Mac ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap penyanyi Malaysia, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail dan lima individu lain.

Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu bagi pertuduhan memiliki sebanyak 6,059 pil yaba dan mengambil dadah di pekan Sungai Golok pada awal Januari lepas.

Keputusan tersebut juga dibuat pada hari terakhir perbicaraan selama tiga hari bermula Selasa lalu oleh panel dua hakim.

BACA LAGI: Enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dari Kelantan hadapi pertuduhan di Mahkamah Narathiwat

BACA LAGI: Niat mahu bercuti di Thailand, artis Malaysia antara 6 individu ditahan miliki dadah

Tarikh jatuh hukum pada bulan Ramadan itu ditetapkan selepas hakim selesai mendengar keterangan daripada penyanyi berusia 30 tahun yang lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, dan lima yang lain sejak Selasa lalu.

Pada 14 Januari lalu, Wan Norshaheeda yang popular dengan lagu ‘Bey Soba Bey’, suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki pil itu.

Mereka bagaimanapun mengaku mengambil dadah di hadapan Hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham.

Terdahulu, seramai enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat moden Kelantan itu yang ditahan di sebuah hotel di Thailand kerana memiliki 6,000 pil kuda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram