'Ika' mengaku tak bersalah, tipu isteri Along Cham RM105,380 guna transaksi 5 akaun bank berbeza


Afreena (kanan) mendakwa ditipu sebanyak RM105,380.

SEORANG wanita yang terlibat dalam kes penipuan wang sebanyak RM105,380 terhadap isteri pelawak, Along Cham, Afreena Suhaimi didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi, Selangor pada Khamis.

Wanita bernama Nursyafiqah Hermansah, 28, atau dikenali sebagai Ika itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi.

Mengikut pertuduhan, Ika yang juga peniaga itu didakwa menipu Afreena, 33, dengan memperdaya mangsa untuk menjamin keluar dan menurunkan seksyen pertuduhan dikenakan ke atas Along Cham atau nama sebenarnya, Muhamad Nizamudin Ahmad berhubung kes dadah dihadapinya.

BACA LAGI: Tipu isteri Along Cham hampir RM100,000: Pasangan suami isteri dicekup di Salak Tinggi

BACA LAGI: Dibenar ikat jamin RM5,000 miliki dadah jenis ganja, Along Cham sujud syukur

Tertuduh juga mendorong mangsa membayar wang berjumlah RM105,380 kepada tertuduh melalui 26 transaksi kepada lima akaun bank berbeza, yang mana mangsa tidak berbuat begitu jika tidak diperdayakan sedemikian.

Ia didakwa dilakukan di sebuah stesen minyak di Bangi Gateway, Seksyen 15, Bangi pukul 6.06 petang pada 22 Disember 2024 hingga pukul 1.24 petang pada 14 Januari lalu.

Pertuduhan turut dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara satu hingga 10 tahun dan dengan sebat serta boleh dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Anis Farhah Ahmad Hilmi sebelum ini menawarkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin, namun peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Kim Kiek yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh bekerja sebagai peniaga berpendapatan RM1,000 selain mempunyai tiga anak berusia tiga, lima dan lapan tahun.

Mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Nurdiyanah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mac nanti untuk sebutan semula kes serta lantikan peguam.

Terdahulu, polis menahan sepasang suami isteri berusia lingkungan 20-an susulan didakwa terpalit kes penipuan berjumlah RM95,180 membabitkan isteri Along Cham.

Afeena juga membuat laporan polis mendakwa dia ditipu sebanyak lebih 100,00 yang merupakan dana digunakan untuk mengurangkan pertuduhan terhadap suaminya. — The Star/JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram