
PENDUDUK tempatan yang sering mengunjungi taman di sebelah Stadium Sultan Sulaiman, Klang, Selangor berasa kecewa dengan tindakan Majlis Bandaraya Klang (MBDK) yang bertindak menebang beberapa pokok di kawasan tersebut.
Sumber pihak majlis mengatakan bahawa pokok-pokok itu ditebang kerana seorang pekerja memaklumkan kepada jabatan berkenaan bahawa dahan-dahan kecil pokok tersebut jatuh ke dalam saliran berhampiran sehingga menyebabkan aliran air tersumbat.
Harun Idris, 43, yang sering bersenam di taman itu berkata, bukan sahaja pokok-pokok tersebut ditebang tanpa pertimbangan tetapi dia juga beranggapan keputusan itu dibuat tanpa melibatkan pakar dalam bidang berkaitan.
"Pokok-pokok itu kelihatan sihat dan kuat, taman rekreasi harus ada pokok.
"Walaupun jika pokok itu perlu dipangkas, cara pemotongan mesti dilakukan oleh pakar arborist untuk memastikan tiada kerosakan yang berlaku," katanya.
Tambah Harun lagi, pihak majlis sepatutnya melakukan pemangkasan secara berkala serta pembersihan saliran secara rutin daripada menebang pokok secara sesuka hati apabila masalah timbul.
Sementara itu, seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Jackie, 64, berkata, taman itu merupakan tempat penting bagi warga emas dan pesara untuk berkumpul setiap pagi dan bersembang sebagai salah satu cara beriadah.
"Itu mungkin tidak lagi dapat dilakukan sekarang kerana tiada lagi tempat berteduh untuk kami duduk dan berbual santai. Taman ini telah menjadi tempat rehat dan tempat untuk warga emas meluangkan masa selama bertahun-tahun," katanya.
Menurut Jackie, dengan penebangan pokok-pokok itu, ketenangan dan kedamaian tempat tersebut telah hilang.
Bagi G. Maniam, 75, pokok-pokok sangat penting untuk kesihatan yang baik dan mencipta persekitaran yang nyaman di taman rekreasi yang sering dikunjungi oleh pelbagai lapisan umur termasuk warga emas seperti dirinya.
Dia juga berpendapat bahawa pihak majlis sepatutnya melakukan kerja penyelenggaraan yang lebih kerap daripada mengambil tindakan drastik apabila masalah berlaku.
"Sangat menyedihkan apabila pokok-pokok yang cantik ini telah dihapuskan," tambahnya.
Apabila dihubungi, seorang pegawai MBDK berkata, beliau akan memberi maklum balas selepas berunding dengan jabatan yang berkaitan.
Bagaimanapun, masih belum ada sebarang respons yang diterima setakat ini. — The Star/ WANI MUTHIAH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram