![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/11/3161636.jpeg)
TINDAKAN pantas beberapa orang awam berjaya menyelamatkan lima beranak daripada sebuah kereta yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Sardon dekat Balik Pulau, Pulau Pinang pada Selasa.
Menurut seorang saksi yang juga pengguna laman X (Twitter) @amr_zhn01 berkata, kejadian itu berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Perodua Alza terlibat dengan kemalangan dengan kereta jenis Mercedes A250 Sport.
Impak perlanggaran menyebabkan kereta itu mula mengeluarkan asap sebelum terbakar.
BACA LAGI: [VIDEO] Ibu pukul anak sampai berdarah depan pasar raya di Arau sudah ditahan polis
"Kemalangan berlaku depan mata yang berakhir dengan kebakaran antara dua buah kereta di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) menghala Balik Pulau.
"Kesemua mangsa selamat cuma mengalami kecederaan. Punca kemalangan belum diketahui. Doa yang baik-baik untuk kesemua mangsa. Insya-ALLAH, amin," ciapnya pada Selasa.
Individu berkenaan turut memuat naik satu video memaparkan kejadian tersebut.
Melalui video berdurasi seminit lebih itu, rata-rata warga maya memuji tindakan pantas orang awam yang segera membantu kesemua mangsa.
Turut kelihatan beberapa orang awam menarik dan memapah keluar seorang mangsa daripada kenderaan yang terbakar itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan kejadian terbabit.
Katanya, kesemua mangsa yang menaiki kereta Perodua Alza terdiri pasangan suami isteri bersama seorang anak lelaki berusia 10 tahun dan ibu mertua berusia 74 tahun serta kakak ipar mangsa.
"Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka dari Hatyai, Thailand, awal pagi Selasa dan siasatan mendapati kereta yang dinaiki lima beranak itu terlibat dengan kemalangan dengan kereta jenis Mercedes A250 Sport.
"Kemalangan berlaku semasa kereta dinaiki lima mangsa dalam perjalanan dari Hatyai menghala balik ke Balik Pulau manakala kereta Mercedes yang dinaiki tiga pemuda berusia 21 tahun dari arah Balik Pulau menghala ke George Town.
"Sampai di selekoh Jalan Tun Sardon, kereta Mercedes yang dipandu pemuda berusia 21 tahun tiba-tiba dilaporkan hilang kawalan dan memasuki laluan arah bertentangan lalu bertembung dengan Perodua Alza.
"Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua kereta itu terbakar keseluruhannya di tempat kejadian. Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam dan kebakaran telah dipadam oleh pasukan bomba," katanya pada Selasa.
Jelas beliau lagi, siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan kering serta berselekoh dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram