
SATU tindakan akan diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap sebuah jenama kosmetik terkenal dari China dan juga di aplikasi TikTok selepas dipercayai melanggar undang-undang dalam kempen pemasarannya.
Tindakan itu diambil susulan syarikat tersebut mengiklankan produk mereka di media sosial dengan dakwaan bahawa produk itu boleh dimakan.
Justeru, kementerian berkenaan sudah memulakan proses untuk mengeluarkan produk syarikat terbabit dari pasaran.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Merujuk laporan Berita Harian yang memetik New Straits Times (NST), Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memaklumkan bahawa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengeluarkan notis kepada syarikat terbabit untuk memberikan penjelasan.
Katanya, syarikat tersebut berisiko kehilangan lesen penjualannya akibat iklan yang menyarankan produk kosmetik berbentuk cecair kulit menggelupas berwarna merah darah dan berasid itu boleh dimakan, walaupun ia sepatutnya digunakan di muka.
Notis tersebut dikeluarkan pada 31 Januari lalu, dan jika syarikat tidak memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari, produk itu mungkin akan dibatalkan pendaftarannya.
Salah satu iklan yang disiarkan melalui video 26 saat di media sosial memaparkan seorang individu tempatan memakan produk tersebut.
Dalam video itu, suara latar bertanya sebab individu tersebut berbuat demikian dan dia menjawab, "Jadi apa?".
Dr Dzulkefly berkata, iklan tersebut mengelirukan serta menimbulkan risiko kesihatan kepada pengguna.
Pemeriksaan lanjut oleh NPRA mendapati produk ini diiklankan di Facebook dengan dakwaan yang melampaui had definisi kosmetik, termasuk untuk dimakan atau digunakan pada mulut. Iklan ini jelas melanggar garis panduan pengiklanan kosmetik.
Semakan di laman web NPRA juga menunjukkan produk tersebut mempunyai dua nombor notifikasi, masing-masing dikeluarkan oleh dua syarikat yang berbeza.
Namun, tidak jelas jika akaun Facebook yang memaparkan iklan ini dimiliki oleh cawangan jenama tersebut di Malaysia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram