Denda, robohkan premis antara usaha tangani isu tanah, pembuangan sampah haram di Kuala Selangor


  • Massa
  • Selasa, 11 Feb 2025

MPKS melakukan pelbagai cara untuk mengatasi masalah pembuangan sampah haram di Kuala Selangor. — Facebook/MPKS

MAJLIS Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) memaklumkan pihaknya mengambil pelbagai tindakan penguatkuasaan bagi menangani isu pembuangan sampah haram dan penggunaan tanah tanpa kebenaran di Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman di Ijok.

“Kawasan tersebut mengalami perubahan bagi menjadikannya sesuai untuk tujuan didiami penduduk bermula pada tahun 2008.

“Namun begitu, pembuangan sampah pembinaan dan domestik semakin berleluasa, menyebabkan pelbagai masalah alam sekitar dan kebimbangan keselamatan kepada penduduk.

“Kedua-dua kampung ini, yang terletak di pinggir Sungai Buloh, juga sering mengalami banjir kilat disebabkan ketinggian kawasan yang lebih rendah berbanding jalan dan sungai," kata Yang Dipertua MPKS, Mohamad Hanafe Basri dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Remaja dari Melaka sanggup datang PJ hadiri pameran PSM demi hobi kumpul setem

BACA LAGI: DBKL bersihkan arca terbiar di Brickfields

had laju (1)

Mohamad Hanafe Basri

Mengenai tindakan penguatkuasaan yang diambil oleh majlis, Mohamad Hanafe berkata sejak 2008, MPKS telah mengeluarkan amaran lisan dan kompaun kepada individu dan pihak yang terlibat dalam pembuangan sampah haram dan penyalahgunaan tanah.

“Majlis telah mengambil langkah lebih drastik pada 2016 dengan menutup akses ke tapak pelupusan haram yang sering dilaporkan serta menggali parit untuk menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan tersebut.

“Pintu pagar dan pondok yang dibina secara haram di pintu masuk tapak pelupusan itu juga telah dirobohkan.

“Walaupun langkah-langkah telah diambil, pembuangan sampah haram dan penggunaan tanah secara tidak sah masih berterusan.

“Antara cabaran yang dihadapi oleh MPKS adalah penyalahgunaan tanah oleh pemilik hartanah lain yang cuba melindungi kawasan mereka daripada banjir serta kesukaran dalam mengenal pasti pemilik tanah," jelasnya.

471325843_10161514215071472_3971933742785402988_n

MPKS bekerjasama dengan agensi-agensi lain agar usaha mereka berjalan lancar. — Facebook/MPKS

Bagi menangani isu ini dengan lebih sistematik, Mohamad Hanafe berkata kerajaan Selangor mengeluarkan Perintah Pejabat Tanah dan Galian Selangor No. 1/2019 untuk menyelaras tindakan penguatkuasaan antara agensi.

“MPKS telah menubuhkan jawatankuasa khas pengurusan sampah haram,” katanya.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab untuk menyelaras antara MPKS, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor (PDT) serta agensi penguatkuasaan lain bagi menyelesaikan isu pembuangan sampah haram dengan berkesan.”

Sejak penubuhan jawatankuasa itu, Mohamad Hanafe berkata agensi-agensi menjalankan penguatkuasaan bersama dalam tempoh lima tahun lalu yang melibatkan penyitaan 135 kenderaan serta pengeluaran 281 kompaun dan 20 notis. Untuk rekod, bilangan sitaan tertinggi direkodkan pada tahun 2023.

“Di bawah Kanun Tanah Negara 1965, PDT Kuala Selangor mengambil tindakan dengan mengeluarkan notis kepada pemilik dalam kes penyalahgunaan tanah. Setakat ini, 33 Notis 7A telah dikeluarkan kepada pemilik tanah.

“Daripada jumlah tersebut, 28 notis telah tamat tempoh dan seterusnya, Notis 7B telah dikeluarkan.”

470176183_978224321000047_7517271985863183748_n

Usaha sejak lima tahun lalu membuahkan hasil positif buat MPKS. — Facebook/MPKS

Notis 7A adalah notis kepada pemilik tanah untuk memulihkan tanah kepada keadaan asal manakala Notis 7B merujuk kepada tindakan yang diambil atas pelanggaran syarat penggunaan tanah.

“Sebanyak 28 lot tanah telah berjaya dipulihkan. Tiga pemilik tanah mengambil inisiatif untuk berbuat demikian sebelum Notis 7B dikeluarkan, menjadikan jumlah lot yang dipulihkan kepada 31. Notis 7B akan diserahkan kepada baki dua lot lagi,

Bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan, MPKS mencadangkan beberapa langkah seperti mengadakan pertemuan dengan pemilik tanah untuk meningkatkan kesedaran tentang kesan dan implikasi undang-undang penggunaan tanah secara haram serta menawarkan insentif untuk menggalakkan orang awam melaporkan pembuangan sampah haram.

“Majlis juga merancang untuk mempergiatkan usaha mendidik komuniti tentang kepentingan pemeliharaan alam sekitar melalui kempen kesedaran awam,” kata Mohamad Hanafe. — The Star/JADE CHAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram