[VIDEO] Polis tahan 10 lelaki terlibat rusuhan berpunca kemalangan di Bahau


  • 112
  • Ahad, 09 Feb 2025

Tangkap layar video tular menunjukkan rusuhan bersenjata antara dua kumpulan di Taman ACBE, Bahau, dekat Jempol, Negeri Sembilan.

POLIS menahan 10 lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata yang berpunca daripada kemalangan jalan raya di Taman ACBE, Bahau, dekat Jempol, Negeri Sembilan pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun itu ditahan di lokasi kejadian dan kawasan sekitar antara pukul 11 malam hingga 3 pagi.

"Terdahulu, polis menerima laporan kemalangan membabitkan dua kereta pada 10 malam dan sebaik tiba di lokasi, pegawai mendapati dua kumpulan lelaki sedang bertengkar.

"Keadaan bertambah buruk dan tiga lelaki cedera selepas diserang dengan topi keledar. Mereka dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja pembersihan cedera, lelaki warga tempatan lepaskan 8 das tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam diburu polis

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek kes tembak di Setia Alam paksa pemandu turunkan di KESAS, disyaki tiada kereta sendiri

Suspek direman empat hari sehingga 11 Februari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Hoo menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu, kerana ia masih dalam siasatan.

Beliau turut menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya melaporkannya ke balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol di talian 06-4582222, Pusat Gerakan Jempol di talian 06-4583449, atau Pegawai Penyiasat Inspektor Umu Fatihah Sulaiman di talian 019-5553065.

Video kejadian yang tular di media sosial.

Sebelum ini, video pertelingkahan berdurasi 1.33 minit yang menunjukkan campur tangan beberapa anggota polis, tular di media sosial. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram