[VIDEO] Kereta hilang kawalan, terbabas ke laluan bertentangan jadi punca penunggang motosikal maut di Pontian


  • 112
  • Sabtu, 08 Feb 2025

Penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kukup Penerok, Johor pada Sabtu.

SEORANG penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu kereta cedera dalam satu kemalangan di Jalan Kukup Penerok berhampiran Klinik Kesihatan Penerok, Johor pada Sabtu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Dzulkhan Iskandar berkata, pihak bomba segera menghantar pasukannya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan sekitar pukul 12.02 tengah hari.

“Jentera bomba pertama tiba di lokasi pada pukul 12.20 tengah hari setelah menempuh jarak kira-kira 10 kilometer.

BACA LAGI: [VIDEO] Tindakan berani jurulatih peluk pelajar putus cinta, cuba lepaskan tembakan rambang di Portland masih dikenang selepas 6 tahun

BACA LAGI: [VIDEO] Sakit hati dimalukan depan keluarga, suami tergamak tanam isteri warga Aceh hidup-hidup

"Kemalangan ini melibatkan sebuah kereta dan sebuah motosikal. Setibanya pasukan kami di tempat kejadian, petugas perubatan dari Kementerian Kesihatan mengesahkan bahawa penunggang motosikal iaitu lelaki berusia 51 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara itu, pemandu kereta didapati tersepit di dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dzulkhan berkata, operasi menyelamat dilakukan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan pemandu yang tersepit.

Setelah berjaya dikeluarkan, mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut, manakala mayat penunggang motosikal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Katanya lagi, seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi itu dengan menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Emergency Medical Rescue Service (EMRS).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan bahawa kes sedang disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sekitar pukul 11.45 pagi apabila sebuah kereta yang dalam perjalanan dari Pontian ke Kukup hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

“Kenderaan tersebut terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal yang datang dari arah Kukup menuju ke Pontian,” katanya.

Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, badan dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, pemandu kereta mengalami kecederaan di kepala dan kaki sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram