[VIDEO] Jihad tuntut ilmu, pelajar UniMAP tak sempat ambil 'exam' maut dirempuh kereta ketika pulang dari perpustakaan


  • 112
  • Sabtu, 08 Feb 2025

Muhammad Fawwaz Hazim Abd Karim meninggal selepas basikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Padang Besar-Ulu Pauh, Arau, Perlis.

PELAJAR Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) maut selepas basikal yang ditungganginya dirempuh oleh sebuah kenderaan jenis Proton X50 di Jalan Padang Besar-Ulu Pauh, Arau, Perlis berhampiran pintu masuk universiti tersebut, pada Jumaat malam.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian tragis yang berlaku sekitar pukul 10.30 malam itu mengorbankan Muhammad Fawwaz Hazim Abd Karim, 23, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

Menurut hasil siasatan awal, kenderaan yang dipandu seorang lelaki berusia 41 tahun dari arah Chuping menghala ke Ulu Pauh dipercayai melanggar bahagian belakang basikal pelajar itu yang berada di lorong tengah jalan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bertarung nyawa 12 jam di bawah runtuhan, 3 pekerja maut bangunan di tapak pembinaan haram tiba-tiba runtuh di Sepanyol

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas NVIDIA, giliran Elon Musk dimalukan robot penari China

"Kereta tersebut datang dari arah belakang dan dipercayai tidak sempat mengelak sebelum melanggar mangsa sehingga menyebabkan Fawwaz terjatuh ke atas jalan. Akibat kemalangan itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mayat pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer itu telah dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, Perlis bagi tujuan bedah siasat.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai pihak termasuk rakan-rakan mangsa yang terkesan dengan pemergiannya.

Rakannya, Sabrina Raubel dalam satu hantaran di Facebook mendedahkan bahawa Fawwaz baru sahaja pulang dari perpustakaan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan.

"Innalillahi wainnailaihi raji'un. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan diampunkan segala dosanya. Arwah seorang yang sangat baik," katanya.

Seorang lagi rakan, Aida turut mendoakan agar urusan pengebumian Fawwaz dipermudahkan.

"Fawwaz dalam perjalanan pulang selepas belajar. Semoga ALLAH permudahkan segala urusannya dan dia ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta kuburnya seluas taman syurga," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram