
IBU bapa kepada kanak-kanak austitik, Zayn Rayyan Abdul Matin, memohon Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang menolak permohonan mereka untuk menangguhkan perbicaraan yang dijadualkan pada Isnin (3 Februari).
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, selaku pemohon, memfailkan notis usul melalui firma guaman Tetuan Haresh Mahadevan & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, dengan pihak pendakwaan dinamakan sebagai responden.
Dalam notis yang diperoleh media, pasangan itu, kedua-duanya berusia 30 tahun, mendakwa bahawa Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Dr Syahliza Warnoh, menolak permohonan mereka menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan penuh terhadap usul mereka untuk membatalkan kes pengabaian kanak-kanak tersebut.
BACA LAGI: Siasatan insiden Tanjung Rhu akan dijalankan secara telus — PM Anwar
Mereka berhujah bahawa jika prosiding diteruskan, ia akan menyebabkan ketidakadilan yang tidak dapat diperbaiki kerana ia melibatkan hak asasi dan prinsip keadilan.
"Di bawah Seksyen 35(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, Mahkamah Sesyen tidak seharusnya meneruskan perbicaraan bermula 3 Februari sehingga permohonan ini diputuskan oleh mahkamah," kata mereka.
Dalam afidavit sokongan, Zaim Ikhwan dan Ismanira mendakwa bahawa Mahkamah Sesyen sepatutnya menangguhkan prosiding perbicaraan.
Mereka juga menyatakan bahawa pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut dan mengakui bahawa usul untuk membatalkan pertuduhan perlu diputuskan terlebih dahulu.
"Tidak wajar dan amat merugikan sekiranya perbicaraan dan usul untuk membatalkan kes dijalankan serentak.
"Kami mencabar pertuduhan ini kerana ia cacat dan tidak berasas untuk dibicarakan," tambah mereka.
Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan anak mereka yang berusia enam tahun, Zayn Rayyan, dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar PJU Damansara Damai dari tengah hari pada 5 Disember 2023 hingga 9.55 malam keesokan harinya.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000, penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
Selain itu, mahkamah boleh memerintahkan pesalah yang disabitkan untuk melengkapkan bon dengan penjamin bagi berkelakuan baik bagi satu tempoh dan syarat ditetapkan oleh mahkamah serta menjalani khidmat masyarakat.
Pada 21 Januari, Zaim Ikhwan dan Ismanira telah memfailkan usul di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka.
Mereka memohon supaya dibebaskan dan dilepaskan serta-merta daripada pertuduhan, dengan alasan bahawa pertuduhan tersebut tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.
Pada 28 Januari, Hakim Syahliza memerintahkan agar perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autistik itu diteruskan seperti yang dijadualkan, bermula Isnin depan.
Hakim membuat keputusan itu selepas menolak permohonan pembelaan untuk membatalkan tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan bagi bulan Februari dan Mac.
Syahliza menyatakan bahawa memandangkan usul pasangan itu belum didengar di Mahkamah Tinggi, prosiding perbicaraan akan diteruskan seperti yang dijadualkan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram