Jurugambar polis dakwa wujud kesan kecederaan di telinga kiri dan tangan kanan Zayn Rayyan


Mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Selangor.

MAHKAMAH Sesyen Petaling Jaya, Selangor dimaklumkan pada Selasa bahawa mayat seorang budak lelaki yang hilang ditemukan di tepi sungai berhampiran takungan air berdekatan Blok R Apartmen Idaman, Damansara Damai dengan kecederaan di telinga kiri dan tangan kanan.

Jurugambar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Koperal Sulaimen Razak, 42, memberi keterangan sambil merujuk gambar-gambar tempat kejadian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Saksi pendakwaan kedua itu berkata, beliau menerima arahan daripada pegawai penyiasat kanan, Asistan Superintendan Mohd Hafizee Ismail pada 6 Disember 2023 untuk mengambil gambar tempat kejadian Orang Hilang (OH) pada pukul 10 malam di apartmen berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Petunjuk perasaan Indonesia ‘serang’ Kedutaan Besar Malaysia dengan berbiji-biji telur tanda protes

BACA LAGI: [VIDEO] Cemburu kekasih bawa lelaki lain balik rumah jadi punca guru silat sumbat mayat wanita dalam bagasi merah

6127256952598807605 (1)

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada Isnin menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh ibu bapa Zayn Rayyan yang mendakwa pertuduhan terhadap mereka tidak sah.

Sulaimen berkata, beliau sekali lagi menerima arahan daripada Mohd Hafizee pada 11 Disember 2023 untuk mengambil gambar tempat kejadian bersama pasukan forensik sekitar pukul 12 tengah malam.

"Gambar itu menunjukkan mangsa dijumpai dengan memakai (pakaian) lencana sekolah pada poket bahagian kiri pakaian mangsa," katanya yang bertugas sebagai jurufoto jenayah sejak 2013 hingga kini.

Saksi itu berkata, semasa siasatan kes berkenaan beliau turut mengambil gambar mangsa yang terdapat luka di tangan kanan dan kecederaan pada telinga kiri mangsa.

Sulaimen berkata, semasa siasatan kes itu, beliau juga mengambil dua keping gambar stoking yang berada di tebing berhampiran sebuah kondominium iaitu 500 meter dari Apartmen Idaman.

Ketika disoal peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf, sama ada saksi itu mengambil gambar berhubung barang berupa 14 pisau, enam gunting dan tiga utas tali yang dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis, Sulaimen menjawab: "Tidak.”

Sementara itu, saksi pendakwaan ketiga, Koperal Nurul Khairina Mohammad Zuki, 35, berkata, pada 5 Disember 2023 beliau menerima satu laporan polis pada pukul 5.45 petang mengenai kehilangan seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun daripada seorang wanita yang dikenali sebagai Ismanira.

"Pada 5 Disember 2023, pukul 12 tengah hari semasa pengadu mahu menaiki tangga untuk balik ke Blok R Apartmen Idaman, anak lelaki pengadu tiada di belakang pengadu dan menyatakan anaknya itu ada memberontak kerana tidak mengikut kemahuan kerana pengadu pada ketika itu sedang memegang banyak barang," kata saksi itu yang merupakan anggota Balai Polis Sri Damansara.

6129523883582275353

Anggota polis bersama penduduk menjumpai mayat kanak-kanak autism, Zayn Rayan di dalam anak sungai di belakang kawasan perumahan Apartmen Idaman Damansara Damai.

Semasa laporan polis itu dibuat, Nurul Khairina berkata, pengadu seperti orang awam lain yang membuat laporan polis dan pengadu ada memaklumkan anak lelakinya itu Orang Kurang Upaya (OKU) autistik dan tidak boleh bertutur.

"Selepas saya menerima laporan polis itu, saya terus memaklumkan kepada pegawai penyiasat bertugas iaitu Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin dan beliau meminta pengadu untuk diambil keterangan," katanya.

Disoal peguam, Haresh Mahadevan sama ada air muka pengadu dalam keadaan kerisauan semasa membuat laporan polis itu, saksi itu menjawab: "Tidak.”

Haresh Mahadevan: Jadi dia nampak gembira dan melompat-lompat?

Nurul Khairina: Tidak, dia seperti pengadu lain yang datang ke balai membuat laporan polis.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa pengadu ada mencari mangsa bersama jiran-jirannya sebelum laporan polis berkenaan dibuat.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh bersambung pada Rabu. The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram