[VIDEO] Petunjuk perasaan Indonesia ‘serang’ Kedutaan Besar Malaysia dengan berbiji-biji telur tanda protes


  • Benua
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Seorang penunjuk perasaan membaling telur semasa tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia pada Khamis.

BERPULUH-PULUH rakyat Indonesia yang berang dengan insiden tembakan maut terhadap seorang pekerja migran di perairan Malaysia bertindak membaling telur ke arah Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta pada Khamis.

Tragedi itu berlaku pada Jumaat minggu lepas apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melepaskan tembakan ke arah sebuah bot yang didakwa menceroboh perairan berhampiran Pantai Tanjung Rhu, Selangor.

Kejadian tersebut mengakibatkan seorang lelaki berusia 50 tahun maut manakala empat lagi mengalami kecederaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Cemburu kekasih bawa lelaki lain balik rumah jadi punca guru silat sumbat mayat wanita dalam bagasi merah

BACA LAGI: [VIDEO] Ajal di tiang telekomunikasi, juruteknik maut tersentuh kabel berkuasa tinggi di Jawa Timur

Pada Rabu, jenazah mangsa telah diterima oleh pihak berkuasa Indonesia di wilayah Riau.

Hampir 100 penunjuk perasaan daripada pelbagai kumpulan hak asasi dan kesatuan pekerja berhimpun di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Bangunan kedutaan yang terletak di jalan utama ibu kota itu dicemari dengan tompokan dan pecahan kulit telur manakala simbol negara Malaysia di pintu masuk turut terkena percikan telur.

Para penunjuk perasaan mengangkat sepanduk bertulis, 'hukum dan penjarakan polis Malaysia yang menembak mati pekerja migran Indonesia!'.

Kementerian Luar Negeri Indonesia dalam kenyataannya pada Sabtu lepas, iaitu sehari selepas insiden mengesahkan bahawa kejadian berlaku ketika lima warga Indonesia cuba meninggalkan Malaysia secara tidak sah.

Susulan itu, pihak kementerian menuntut siasatan menyeluruh khususnya bagi menilai kemungkinan penggunaan kekerasan berlebihan oleh APMM.

Insiden itu mencetuskan kemarahan di Indonesia selepas sebuah video tular di media sosial memperlihatkan beberapa pekerja migran yang cedera akibat tembakan, terbaring di atas bot dalam keadaan lemah dan kesakitan.

Rakaman berkenaan juga memaparkan keadaan mayat seorang rakan mereka yang terbaring di sisi.

Wahyu Susilo, Pengarah Eksekutif Migrant Care berkata, kejadian itu bukanlah yang pertama, sebaliknya sebahagian daripada senarai panjang kematian pekerja migran Indonesia yang didakwa berpunca daripada tindakan pihak berkuasa Malaysia.

Berdasarkan rekod Migrant Care, sekurang-kurangnya 75 kes serupa telah direkodkan sejak 2005.

Kumpulan itu menggesa Presiden Indonesia, Prabowo Subianto agar tidak berdiam diri terhadap isu berkenaan demi menjaga hubungan dengan Kuala Lumpur.

Dalam lawatan rasminya ke Malaysia baru-baru ini, Prabowo berjanji untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi menyelesaikan isu-isu berkaitan pekerja migran.

"Kami akan menyelesaikan isu-isu dua hala, termasuk yang berkaitan dengan tenaga kerja. Kami telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam semua sektor," kata Prabowo dalam kenyataan bersama Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim pada Isnin lepas iaitu tiga hari selepas insiden tembakan maut di Selangor. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram